Sebab ada kelab ‘tak ready’ lagi, kelab lain jadi mangsa Liga M3 terpaksa dianjak ke Mac 

735

Saingan Liga M3 musim 2023 sepatutnya akan membuka tirainya pada pertengahan bulan Februari telah dianjak ke awal bulan Mac.

Pertukaran tarikh liga itu terpaksa dibuat berikutan masih ada pasukan yang belum sedia sepenuhnya termasuk penarikan diri kelab Kinabalu Jaguars FC baru-baru ini.


Susulan itu, pihak pengelola liga iaitu Amateur Football League (AFL) terpaksa mengadakan satu mesyuarat untuk menentukan kelab manakah yang akan diserap ke saingan Liga M3 musim ini bagi melengkapkan jumlah 14 pasukan.

Ternyata keputusan untuk menolak tarikh liga ke awal bulan Mac tidak disenangi oleh beberapa kelab lain yang sudah pun mula membuat persiapan seawal Disember 2022.

Beberapa pihak dari kelab yang beraksi di Liga M3 tampil menyuarakan ketidak puasan hati mereka terhadap beberapa keputusan yang dibuat oleh AFL.

Antaranya adalah tarikh saingan liga yang hanya akan bermula pada awal Mac kerana mereka hanya akan sempat bermain beberapa perlawanan sahaja sebelum saingan liga berkemungkinan akan berehat bagi memberi laluan kepada bulan Ramadhan yang akan bermula pada 23 Mac ini.

Selain itu mereka turut mempersoalkan tindakan AFL yang membenarkan dua kelab bermasalah iaitu Sarawak United FC dan Melaka FC beraksi dalam saingan Liga M3.

Walaupun pihak AFL sudah menjelaskan bahawa Melaka FC tiada kaitan dengan Melaka United FC yang berdepan isu tunggakan gaji pemain, namun ramai yang berang kerana masih ada pihak yang sebelum ini berada dalam Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) turut berada dalam Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA).

Melaka juga dikatakan masih belum mempunyai pemain untuk mengharungi saingan liga musim ini, dan sepatutnya perlu bermain di Liga M5 terlebih dahulu sekiranya kelab itu adalah entiti lain seperti yang didakwa.

Selain Melaka, mereka juga mempertikaikan tindakan badan induk bola sepak itu yang membenarkan Sarawak United turut beraksi walaupun secara teknikalnya mereka masih layak untuk beraksi.

Situasi Sarawak United adalah hampir serupa dengan situasi yang berlaku kepada Perak FC musim lalu yang tetap dibenarkan beraksi walaupun mempunyai masalah tunggakan gaji dengan syarat mereka tidak boleh mendaftarkan pemain baru.

Tetapi persoalannya kini, selepas kesemua pemain Sarawak United keluar dari kelab itu, bagaimana mereka hendak bersaing tanpa kelibat pemain baru?

Banyak lagi keluhan dari kelab-kelab Liga M3 yang ingin disuarakan tetapi mereka bimbang jika terlalu lantang bersuara mereka mungkin akan dikenakan tindakan.

Sementara itu, baru-baru ini dalam satu temubual eksklusif Harimau Malaya bersama Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL, Mohd Raimi Fakri telah memberitahu bahawa satu mesyuarat ahli lembaga akan berlangsung pada minggu hadapan bagi membincangkan pasukan manakah yang akan diserap bagi menggantikan Kinabalu Jaguars.

Pada masa sama mesyuarat ahli lembaga itu akan turut membincangkan mengenai permohonan UiTM FC yang mahu bermain di Liga M3 selepas menarik diri dari saingan Liga Super.