Khyril Muhymeen beri laluan pada pemain muda sarung jersi Malaysia
Pemain PJ City FC dan bekas pemain kebangsaan, Khyril Muhymeen memberitahu dia tidak lagi berharap dirinya akan dipanggil untuk menyarung jersi Malaysia.
Menurut Khyril atau lebih mesra dengan panggilan Meen berkata dia tidak mahu bersifat tamak sebaliknya mahu beri peluang kepada pemain-pemain muda.
“Melihat kepada prestasi pemain-pemain muda tempatan ketika ini seperti Akhyar Rashid, Safawi dan Syafiq Ahmad saya rasa mereka lebih layak untuk menyarung jersi kebangsaan dari saya.
Bagi saya sekarang ini adalah masa untuk mereka tonjolkan bakat mereka bersama skuad kebangsaan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Khyril yang kini bermain untuk sebuah pasukan berpengkalan di Petaling Jaya berkata walaupun dirinya kini sudah berusia 34 tahun, namun minat dan cintanya terhadap dunia bola sepak tidak pernah pudar dan akan terus bermain bola sepak selagi mampu.
“Bola sepak sudah sebati dengan saya dan ia sesuatu perkara yang sangat menyeronokkan saya. Saya akan terus bermain selagi saya mampu. Cuma apa yang akan menghalang saya bermain adalah kecederaan. Sekiranya masih cergas, saya akan terus bermain.”
Dalam perkembangan lain, Khyril kini sedang sibuk dengan persiapan bersama PJ City FC untuk mengharungi musim Liga Malaysia 2022.
Menurut Khyril, untuk musim ini dia mengambil inisiatif sendiri untuk mempersiapkan dirinya untuk bersaing dengan pemain-pemain muda.
“Saya dan pemain senior lain sedar kami tak mampu nak saingi tenaga pemain-pemain muda yang ada di PJ City FC, namun kami tak jadikan ia sebagai alasan sebaliknya sebagai motivasi untuk kami terus berikan yang terbaik.”
Musim ini Khyril telah membuat 11 penampilan bersama PJ City FC dan telah berjaya menjaringkan tiga gol.
Khyril percaya gabungan pemain senior dan muda mampu menjadi pesaing hebat buat pasukan-pasukan lain dalam liga, sekaligus mampu mencapai misi mereka untuk menduduki top 5 di Liga Super.