Saya gembira berada dalam kelab yang mempunyai kestabilan kewangan – Brendan Gan
Kapten pasukan Selangor FC, Brendan Gan bersyukur apabila berada dalam kelab yang mempunyai kestabilan kewangan dan beliau amat bersimpati dengan nasib yang menimpa rakan seperjuangan di Melaka United FC dan Sarawak United FC yang berdepan isu tunggakan gaji.
“Ia sentiasa bagus untuk berada dalam kelab yang mempunyai kestabilan kewangan. Apa yang berlaku kepada pemain (Melaka United & Sarawak United) adalah sesuatu yang cukup menyedihkan kerana mereka mempunyai keluarga, ada bil yang perlu dibayar seperti orang lain.
Harap PFAM (Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia) dapat membantu mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.
Untuk kami pula, ia bagus untuk mempunyai pengurusan yang sentiasa pastikan kebajikan pemain terjaga. Itulah salah satu perkara positif berada di Selangor,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu bekas pemain Melaka United dan Sarawak United telah tampil membuat pendedahan bahawa bekas majikan mereka tidak membayar gaji mereka dari tiga hingga ke enam bulan.
Dalam pada itu, Brendan yang baru sahaja melaporkan diri selepas selesai tugasan bersama skuad Harimau Malaya berkata fokusnya kini adalah untuk memastikan dirinya berada pada tahap terbaik bagi mengharungi musim baru Liga Super yang akan bermula pada 24 Februari ini.
Beliau berkata dengan kemasukan ramai pemain baru, mereka perlu bekerja dengan lebih keras lagi untuk memenuhi kehendak ketua jurulatih Tan Cheng Hoe apabila turun beraksi nanti.
Skuad Gergasi Merah Kuning dijangka akan membawa masuk beberapa pemain import lagi bagi memenuhi kuota sembilan pemain import untuk memantapkan lagi skuad.
Untuk musim 2023, Selangor menjadi salah sebuah pasukan pilihan untuk mencabar takhta kejuaraan Liga Super berikutan kehadiran ramai pemain-pemain berkualiti termasuk Faisal Halim, V. Ruventhiran, Khuzaimi Piee dan Rauf Salifu.
“Ketika ini ramai pemain dengan personaliti besar menyertai pasukan dan kami harap dapat menggunakan kualiti yang ada pada mereka. Selepas mengharungi musim yang terumbang-ambing musim lalu, kami berharap musim ini akan menjadi lebih baik.
Mengenai Selangor menjadi pasukan pilihan musim ini saya masih belum dengar lagi (selorohnya). Bagaimanapun jika anda lihat persiapan pasukan-pasukan lain ketika ini telah mempertingkatkan skuad mereka, jadi saya menjangkakan musim ini akan menjadi musim yang sukar.”
Sementara itu, Brendan yang akan menyambut Sambutan Tahun Baru Cina pada Ahad ini berkata sambutan akan dilakukan secara sederhana sahaja bersama keluarga dan rakan terdekat.