Selamat tinggal Unifi! Tiada lagi siaran langsung Liga Super selepas ini di YouTube?
Musim Liga Malaysia 2022 boleh dikatakan antara yang menarik buat peminat bola sepak tanah air apabila dapat menonton kesemua perlawanan baik Liga Super atau pun Liga Perdana secara percuma di saluran YouTube Unifi.
Selain di saluran YouTube, peminat juga boleh menonton perlawanan pilihan di stesen televisyen RTM (Radio Televisyen Malaysia).
Pendek kata sepanjang musim lalu, hampir tiada rungutan daripada peminat untuk menonton perlawanan kegemaran mereka, malah ada yang menonton dua atau tiga perlawanan sekaligus berikutan kesemua perlawanan disiarkan.
Namun, baru-baru ini terdapat khabar angin yang mengatakan Unifi tidak akan menjadi penyiar utama saingan Liga Super musim ini dengan Astro dikatakan akan kembali menjadi penyiar utama seperti sebelum ini.
RTM juga dikatakan akan menjadi rakan penyiar rasmi tetapi butiran lanjut bagaimana pembahagian siaran perlawanan masih lagi belum diketahui.
Apa yang menguatkan lagi dakwaan Unifi tidak akan menjadi penyiar rasmi liga untuk musim depan adalah apabila saluran Unifi Sport 2,3 & 4 sudah pun ditamatkan siaran.
Perkara ini sedikit sebanyak mula mencetuskan kebimbangan peminat kerana bimbang Astro hanya akan menyiarkan perlawanan terpilih sahaja.
Peminat berharap Astro dapat menambah saluran sekaligus dapat menyiarkan kesemua perlawanan, manakala RTM pula boleh memilih perlawanan dengan kerjasama Astro.
Tidak dapat dinafikan ia adalah satu cadangan yang baik tetapi ia tetap akan menimbulkan satu lagi masalah iaitu bagaimana dengan peminat yang tidak melanggan saluran Astro?
Semua sedia maklum bahawa ketika ini semakin ramai menamatkan langganan Astro mereka berikutan sudah muak dengan saluran berbayar itu yang sentiasa menyiarkan program berulang-ulang.
Ini akan menyebabkan ramai yang tidak dapat menonton perlawanan membabitkan pasukan kegemaran mereka sekiranya tidak menjadi perlawanan pilihan.
Jika ini berlaku, ia secara tidak langsung akan menyebabkan jumlah tontonan akan merudum dengan drastik berbanding musim lalu.
Apa pun kita tunggu pengumuman dari pihak Malaysian Football League (MFL) dalam masa terdekat ini mengenai penyiar rasmi Liga Super 2023.
Semoga ada berita gembira buat peminat bola sepak tanah air.