Tertarik dengan tarian singa sejak kecil jadi faktor utama dua remaja Melayu sertai kumpulan tarian singa

396

Tarian singa lebih sinonim dengan orang Cina berikutan ia adalah tarian tradisional kaum Cina, namun kini tarian itu bukan lagi eksklusif kepada orang Cina sahaja sebaliknya ia sudah mula menarik minat orang Melayu dan juga India.

Dua anak muda Melayu iaitu Aidilfitri Zulkarnaian dan Rahman Hakim merupakan salah seorang anggota kumpulan Sheng Wai Dragon 7 Lion Kuala Lumpur memberitahu mereka menyertai kumpulan tersebut kerana tertarik dengan tarian tersebut yang dianggap sebagai unik.


“Saya minat dengan tarian singa ini sejak kecil lagi dan Kawasan kejiranan saya banyak orang Cina jadi bila setiap kali sambutan Tahun Baru Cina mesti ada tarian singa dan sejak itu saya mula bergaul dengan mereka dan akhirnya menyertai kumpulan tarian singa,”

ujar Aidilfitri kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, apabila menyertai kumpulan itu ia mempunyai beberapa peringkat di mana peringkat pertama adalah bermain alat muzik terlebih dahulu sebelum lama-kelamaan baru berpeluang untuk bermain kepala singa.

Aidilfitri mengakui pada awal penyertaannya dalam kumpulan tarian singa turut mendapat sedikit tentangan daripada keluarga, tetapi lama- kelamaan mereka dapat menerima.

“Ada juga keluarga marah tanya ‘kenapa nak masuk tarian singa, kenapa tak masuk kebudayaan Melayu sahaja’, tapi dah minat kita kan, nak buat macam mana. Keluarga akhirnya dapat menerima.”

Tambahnya lagi, bukan sahaja keluarga yang terkejut tetapi juga sifu (guru) tarian singa juga terkejut apabila melihat ada remaja Melayu seperti mereka yang minat dengan tarian singa.

“Alhamdulillah selepas lebih tujuh tahun, saya berjaya tarik kira-kira enam ke lapan orang Melayu untuk turut serta dalam kumpulan tarian singa.”

Dalam pada itu, beliau mengakui bukan mudah untuk menguasai tarian singa kerana mereka terdedah kepada kecederaan sekiranya silap langkah.

Beliau juga mengakui sudah beberapa kali tercedera ketika melakukan tarian singa, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya.