Penyerang kebangsaan Gambia, Nuha Marong sah perkuat serangan Kelantan FC

586

Selepas mempamerkan aksi cemerlang dan menjadi naib juara Liga Perdana 2022, Kelantan FC semakin bernafsu untuk meneruskan kecemerlangan dalam saingan Liga Super musim 2023 pula.

Bagi memastikan mereka mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan gergasi di Liga Super, pemilik Kelantan iaitu Norizam Tukiman telah pun membaw masuk ketua jurulatih baru dari Korea Selatan iaitu Choi Moon-sik.


Walaupun dua perlawanan pra-musim Kelantan berkesudahan tumpas 7-0 di tangan Buriram United dan 2-0 di tangan Kedah Darul Aman FC, namun ia bukan sesuatu perkara yang perlu dibimbangkan kerana skuad sedia ada masih belum lengkap.

Norizam atau mesra dengan panggilan Zamsaham baru sahaja mengumumkan pemain import baru mereka yang akan menguatkan barisan serangan The Red Warriors iaitu Nuha Marong.

Marong merupakan penyerang kebangsaan Gambia dan beliau juga pernah menyarung jersi kebangsaan Sepanyol dari B-17 hingga B-21 sebelum mengambil keputusan untuk bermain untuk Gambia pada tahun 2019 dan sudah membuat empat penampilan bersama skuad senior.

Beliau yang lahir di Sepanyol memulakan karier bola sepak di negara itu dengan bermain untuk beberapa kelab di sana termasuk UE Costa Brava, Racing, Recre Granada dan beberapa lagi.

Pada tahun 2022 beliau berhijrah ke Bangladesh untuk bermain untuk kelab Bashundhara Kings, namun tidak kekal lama apabila beliau ke India untuk bermain bersama kelab Rajasthan United di divisyen dua.

Dengan mempunyai ketinggian 1.93 meter dan bertubuh tegap, Marong dijangka akan menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan lawan.

Mampukah Marong menyesuaikan diri sekaligus menjadi penggempur digeruni di Liga Super musim ini? Sama-sama kita tunggu.

Sementara itu, Zamsaham turut mendedahkan bahawa beliau akan membawa masuk lagi empat pemain import yang akan dinilai oleh Moon-sik terlebih dahulu sebelum menandatangi pemain-pemain itu.