Selepas dibuang Chonburi dek sebabkan kemalangan maut, Worawut Sukhuna kembali beraksi di divisyen 3

2,434

Walaupun bukan pemain Malaysia, tetapi kes melibatkan pemain dari negara jiran Thailand, Worawut Sukhuna mendapat perhatian peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara tahun lalu apabila beliau terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian.

Apa yang menjadi perhatian adalah bekas penjaga gol Chonburi itu yang menjadi punca kemalangan apabila kandungan alkohol dalam tubuhnya melebihi had yang dibenarkan iaitu 184 mg/dL (had di Thailand adalah 50 ml/dL).


Susulan insiden tersebut, pihak kelab Chonburi telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak pemain itu serta merta, malah pengurus pasukan yang tidak terlibat iaitu Sasis Singtothong turut mengambil keputusan untuk meletak jawatan.

Bagaimanapun selepas tiga bulan sepi dari sebarang berita, Worawut kembali menjadi perbualan peminat bola sepak di negara itu apabila beliau kembali bermain bola sepak.

Namun beliau tidak beraksi di liga utama Thai League 1, sebaliknya beliau beraksi di divisyen tiga Thai League 3 bersama kelab Pattaya Dolphins United.

Perpindahan pemain berusia 22 tahun itu ke kelab baru dilakukan secara tertutup sehingga kelibat beliau dilihat ketika membuat penampilan dalam perlawanan menentang Asawin Kohkwang United.

Nyata penampilan beliau telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada peminat, tetapi melihat kepada undang-undang dan peraturan Thai League, Worawut mempunyai hak untuk kembali bermain secara profesional.

Ini kerana liga tidak menghalang tidak menghalang pemain bermain walaupun mempunyai kes jenayah, namun pemain yang terlibat dengan kes dadah dilarang dari terlibat sebagai liga di semua peringkat.

Apa yang membuatkan kes Worawut menjadi perhatian ramai kerana perkara seperti ini jarang berlaku kepada pemain bola sepak profesional kerana mereka selalunya sentiasa bersikap disiplin kerana tahu silap langkah karier bola sepak boleh musnah.

Bukan sahaja berlaku di Thailand sahaja, tetapi juga di seluruh dunia termasuk di Liga Perdana Inggeris apabila beberapa pemain turut didakwa dengan pelbagai kes jenayah.

Di Malaysia juga tidak terkecuali apabila ada bekas pemain yang juga merupakan penolong jurulatih di sebuah kelab gergasi di Selatan ditangkap atas kesalahan dadah pada Julai 2022, namun sehingga kini tiada perkembangan terkini mengenai kes itu.

Bagaimanapun kariernya pula bersama kelab itu rasanya sudah ditamatkan berikutan semakan di laman sesawang transfermarkt memperlihatkan status terkini tidak terikat dengan mana-mana kelab, tetapi ia masih belum dapat disahkan.