Zandra Izzara pasang impian untuk wakili Malaysia sertai kejohanan boling dunia

396

Pemain tenpin boling cilik, Zandra Izzara memasang impian untuk mewakili Malaysia satu hari nanti dan menyertai kejohanan-kejohanan dunia untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Saya nak jadi wakil Malaysia dan mahu menyertai kejohanan-kejohanan besar dunia. Saya juga mahu banggakan ibu bapa saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Zandra merupakan antara salah seorang daripada 15 pemain cilik yang terpilih untuk menyertai Akademi Syaidatul Afifah (A.S.A) bagi mengikuti latihan di bawah bimbingan bekas jaguh tenpin boling negara, Syaidatul Afifah.


Setiap yang dipilih adalah dari umur 7 hingga 15 tahun yang mana kesemua mereka akan mengikuti latihan dalam tempoh tiga hingga sembilan bulan.

Pemain berusia 9 tahun itu masih lagi belum menyertai sebarang kejohanan, namun beliau kini sedang giat menjalani latihan sebagai persedian untuk menyertai kejohanan boling pada masa akan datang.

Sebelum ini, beliau aktif dengan aktiviti sukan renang dan silat, namun sejak menceburi dunia sukan tenpin boling, beliau ambil keputusan untuk fokus pada sukan barunya.

Dalam pada itu, Zandra juga sempat berkongsi situasi sukar yang dihadapinya ketika menjalani latihan bersama jurulatih, namun berpegang pada kata-kata ibu bapanya supaya tidak mudah putus asa, beliau tekad untuk mengatasinya.

“Ibu ayah cakap kalau nak berjaya saya kena main betul-betul dan yang penting jangan menangis. Pernah masa jurulatih ajar saya untuk buat full step tapi saya tak mampu lakukan dan saya menangis.

Tapi bapa pujuk saya tekad untuk terus mencuba dan akhirnya saya berlaku lakukannya.”

Sementara itu, Zandra berharap sukan tenpin boling tidak akan terpinggir dan berharap satu hari nanti sukan itu akan dipertandingkan di Sukan Olimpik.