Ibu bapa Zandra Izzara akan terus beri sokongan penuh untuk anak mereka berjaya dalam sukan tenpin boling

330

Untuk menjadi seorang atlet sukan yang berjaya bukan mudah kerana ia perlu bermula dari kecil dan proses tersebut memakan tempoh yang sangat panjang, oleh itu sokongan daripada ibu bapa amat penting.

Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan anak mereka mampu menjadi seorang atlet yang berjaya, dan perkara itu tidak menjadi masalah buat pasangan Fazreen Nizam Yusof dan Nadiah Nordin dalam menyokong anak mereka iaitu Zandra Izzara yang menceburi sukan tenpin boling.


“Pembabitan Zandra dalam sukan tenpin boling ini pada mulanya saya hanya mahu penuhkan jadual aktiviti anak saya dan kami ambil keputusan untuk bagi dia cuba main boling memandangkan namanya Zandra tu pun diambil dari nama pemain boling negara Zandra Aziela.

Jadi kami bawa dia ke pusat boling terdekat dan bagi dia berlatih di bawah bimbingan jurulatih Yusof dan lama-kelamaan kami perasan yang dia ada bakat,”

ujar Nadiah kepada Harimau Malaya.

Tambah Nadiah lagi, apa yang membuatkan beliau dan suami yakin yang anaknya berminat dengan sukan boling adalah Zandra tidak pernah merungut dan sentiasa mahu turun berlatih.

“Saya perasan sejak dia main boling ni dia tak merungut dan secara sendiri mahu kerap berlatih.

Zandra selalu cakap kat saya sekarang ni dia nak fokus pada sukan tenpin boling sahaja dan tak mahu lagi sukan renang atau pun silat. Sekarang ini, hari-hari dia akan mesej ketika saya berada di pejabat untuk ajak berlatih boling,”

kata Fazreen.

Dalam pada itu, Nadiah berkata anaknya kini telah diserap ke Akademi Syaidatul Afifah (A.S.A) yang merupakan akademi boling pertama di Malaysia untuk kanak-kanak dan remaja.

Akademi milik jaguh boling negara Syaidatul Afifah Badrul Hamidi itu telah pun melakukan saringan dan pemilihan baru-baru ini dengan hanya 15 pemain terpilih dari usia 7 hingga 15 tahun bagi mengikuti latihan di bawah kendalian Syaidatul untuk tempoh tiga hingga sembilan bulan.

Selepas hampir tujuh bulan menceburi dunia boling, Fazreen berkata anaknya akan menyertai kejohanan pertamanya iaitu Milo Junior Sirkit di Pulau Pinang pada Februari ini.

Sementara itu, dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh anak mereka dalam sukan boling, Fazreen dan isterinya akan terus memberi sokongan penuh untuk anak mereka sehingga berjaya mencipta nama di persada antarabangsa.

“Saya dan suami harap anak kami akan terus kuat dan kekal fokus dalam sukan boling. Satu lagi yang penting adalah kena jaga attitude.

Selain mahu melihat Zandra berjaya, saya juga mahu melihat rakan-rakan dia juga turut berjaya dalam dunia sukan boling ini.”