Kami terima surat ‘mohon bersabar’ dari pihak pengurusan – Sarawak United FC

328

Isu tunggakan gaji pemain Sarawak United FC nampaknya seakan-akan bakal selesai tidak lama lagi apabila Presiden Sarawak United iaitu Datuk Posa Majais telah mengeluarkan kenyataan bahawa tunggakan gaji itu akan diselesaikan menjelang Mac depan.

Posa dalam kenyataan kepada sebuah akhbar turut menjelaskan bahawa pihaknya telah memaklumkan mengenai pembayaran tunggakan gaji kepada pemain dan akan mula membayar bermula Februari secara berperingkat.


Bagaimanapun, beberapa pemain yang dihubungi oleh Harimau Malaya mengakui ada menerima surat daripada pihak pengurusan pada 15 Januari lalu tetapi dalam surat tersebut tidak menyatakan bilakah tunggakan gaji itu akan diselesaikan.

Menurut seorang pemain yang enggan namanya didedahkan, kandungan surat itu menyatakan bahawa pihak pengurusan belum menerima dana dan meminta para pemain bersabar.

“Presiden tidak menghubungi secara personal, cuma hantar surat sahaja tapi dalam surat tak tulis pun bila nak selesai. Cuma berkata dana belum masuk lagi dan mohon bersabar.”

Seorang lagi bekas pemain turut menyatakan perkara sama, malah tidak mengetahui mengenai kenyataan Posa kepada sebuah akhbar.

Beliau bagaimanapun tidak mahu meletak harapan terlalu tinggi berikutan ini bukan kali pertama pihak pengurusan berjanji nak bayar tetapi sebaliknya berlaku.

“Mereka ada bagi surat saja mohon bersabar. Mereka (pengurusan) pandai, bulan Januari kecoh letak tarikh janji bulan Mac jadi dalam tempoh tersebut orang tak boleh cakap macam-macam sebab dah janji bulan Mac.

Sama seperti sebelum ini. Kami push bulan Ogos, dia letak janji bulan Disember.”

Semalam, Posa telah tampil menjelaskan bahawa pihak pengurusan Sarawak United tidak pernah lepas tangan dan akan berusaha untuk melangsaikan tunggakan gaji berjumlah lebih RM1 juta.

Malah beliau juga mendedahkan bahawa peruntukan kewangan untuk bayar hutang sudah pun diluluskan.

Diharap isu ini akan diselesaikan dengan segera kerana kesian kepada pemain-pemain yang mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan seharian berikutan tidak mendapat gaji.