Sarawak United FC cukup pemain ke nak main Liga M3 musim ini?

203

Semua sedia maklum Sarawak United FC yang tidak mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super dan mereka disahkan akan bersaing dalam liga semi-profesional Liga M3 untuk musim 2023.

Walaupun berdepan tunggakan gaji pemain lebih RM1 juta, pengelola liga Amateur Football League (AFL) tetap membenarkan mereka untuk bersaing kerana secara teknikalnya mereka masih layak.


Bagaimanapun dalam temubual eksklusif Harimau Malaya bersama Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL iaitu Mohd Raimi Fakri berkata Sarawak United akan dikenakan syarat sama seperti Perak FC yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim lalu.

Syarat tersebut adalah Sarawak United tidak akan dibenarkan untuk mendaftarkan pemain-pemain baru selagi tidak menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Namun persoalannya ketika ini adakah Sarawak United mempunyai cukup pemain untuk mengharungi saingan Liga M3 musim ini?

Ini kerana difahamkan sebahagian besar pemain telah meninggalkan kelab itu sebaik sahaja tamat musim lalu.

Ya, tidak dinafikan Presiden Sarawak United, Datu Posa Majais telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan melangsaikan segala hutang menjelang bulan Mac depan, tetapi sempatkah mereka daftar pemain dalam tempoh singkat?

Difahamkan juga, pihak pengurusan ada juga menawarkan kontrak baru kepada pemain untuk kekal bagi menghadapi saingan Liga M3, namun dengan situasi semasa rasanya ramai pemain yang memilih untuk berhijrah keluar kerana bimbang masalah sama akan berulang.

Buat masa ini tiada sebarang maklumat lanjut mengenai jumlah pemain yang masih bersama Sarawak United.

Saingan Liga M3 pula telah dianjak dari pertengahan bulan Februari kepada awal Mac depan dan perkara ini turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kelab-kelab lain yang sudah bersedia untuk sepak mula bulan depan terpaksa menunggu lagi sebulan.

Adakah dengan ‘talian hayat’ yang diberikan AFL ini akan memberi masa dan ruang yang cukup untuk Sarawak United membentuk sebuah skuad ampuh? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen