Kelab Liga M3 kini dibenarkan guna jurulatih import, AFL patutnya bertegas dengan peraturan sendiri

616

Liga M3 akan membuka tirainya pada Februari ini dan sudah tentu semua pasukan yang bertanding sedang sibuk membuat persiapan termasuklah melantik jurulatih.

Berbeza daripada Liga Super, Liga M3 telah menetapkan yang setiap pasukan hanya boleh menggunakan khidmat pemain serta jurulatih tempatan sahaja.


Hal ini kerana, pihak Amateur Football League (AFL) ingin mengenengahkan bakat jurulatih serta pemain tempatan agar mereka boleh bina kerjaya profesional mereka.

Namun, untuk musim yang akan datang ini terdapat beberapa kelab yang dikhabarkan diberi pengeculian oleh AFL untuk menggunakan jurulatih import.

Antara kelab yang bakal mendapat pengecualian tersebut ialah Armed Forces FC serta Melaka FC dan perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi AFL, Raimi Fikri.

Dalam pada itu, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku di Liga M3 kerana pihak AFL sendiri telah menetapkan peraturan yang tiada jurulatih serta pemain import dibenarkan tetapi kenapa ada kelab dibenarkan untuk berbuat sedemikian untuk musim akan datang.

Hal tersebut tidak akan mendatangkan banyak faedah terutama untuk pembangunan bakat bola sepak tempatan.

Seperti yang ramai sudah tahu¸ setiap kelab yang beraksi di Liga Super musim hadapan dibenarkan untuk menggunakan sehingga sembilan pemain import jadi ia sedikit sebanyak telah menutup ruang untuk pemain tempatan untuk beraksi di liga tersebut.

Bukan itu sahaja, terdapat enam kelab di Liga Super telah menggunakan jurulatih import untuk mengemudi kelab mereka musim hadapan dan kelab tersebut ialah Sri Pahang FC (Singapura), Johor Darul Ta’zim (Argentina), Kelantan FC (Korea Selatan), Kelantan United FC (Republik Czech), Kuala Lumpur City FC (Croatia) dan Terengganu FC (Croatia).

Sepatutnya AFL mengekalkan Liga M3 ini menjadi liga yang dibarisi 100% pemain serta jurultih tempatan untuk memastikan liga tersebut menjadi platfrom khusus untuk bakat tempatan menonjolkan kemampuan mereka.

Jika Liga M3 juga dibenarkan untuk menggunakan jurulatih import bagaimana pemain serta jurulatih tempatan ingin menyerlahkan lagi bakat mereka.

Jikalau peraturan Liga M3 boleh diubah, tidak mustahil lepas ini kelab lain juga yang turut meminta pengecualian untuk menggunakan jurulatih luar negara dan mungkin pemain import.

Liga M3 perlu kekal dengan format serta peraturan yang sedia ada supaya para pemain serta jurulatih daapt menujukkan bakat mereka kemudian menarik minat kelab-kelab besar untuk mendapatkan khidmat mereka pada masa hadapan.