Bila ada pasukan lain yang belanja 200 kali ganda daripada anda, sasaran haruslah realistik – Giancarlo Gallifuoco
Pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco berharap dapat membawa kelab itu kembali ke pentas Piala AFC pada musim depan, selain bersaing untuk mendapatkan posisi empat teratas.
Beliau berkata, secara peribadi memang mahu berada di kedudukan yang lebih tinggi malah bersaing untuk gelaran liga, tetapi mengakui kelab itu tidak mempunyai bajet seperti kebanyakan pasukan lain.
“Apabila ada pasukan lain yang boleh belanja 200 kali ganda dari pasukan anda, secara realistiknya mereka berada di satu tahap yang lain.
Pasukan JDT contohnya mereka berada di satu tahap yang lebih tinggi, kita juga ada pasukan seperti Sabah, Terengganu dan Kedah yang turut memperkuatkan pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Namun begitu, beliau percaya KL City juga mempunyai skuad yang baik untuk musim depan dengan beberapa penambahan yang kelab itu lakukan.
Beliau berharap dengan prospek kehadiran pemilik baru yang akan mengambil alih kelab, iaitu jutawan muda, Azri Azerai, Gallifuoco berharap kelab itu berada di landasan yang tepat untuk bangkit seperti zaman kegemilangannya.
“Saya rasa kami boleh berada di satu tahap di mana peminat semua boleh berbangga apabila mereka hadir ke stadium.
Dengan pemilik yang baru, diharapkan kita mempunyai sumber kewangan tambahan untuk bangkit semula seperti zaman 80an.”
Tambahnya, beliau berharap mempu menambah lagi koleksi pingat bersama KL City selepas berjaya meraih dua pingat dalam dua tahun bersama kelab itu, iaitu juara Piala Malaysia dan juga naib juara Piala AFC.
Beliau berharap para penyokong KL City akan terus memberikan sokongan kepada mereka di stadium terutama ketika mereka bermain di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.