Safawi Rasid mula ‘disayangi’ penyokong Ratchaburi FC, buktikan sentuhan masih berbisa seperti dulu

5,088

Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid sudah mula mencuri tumpuan di Thailand dengan mempamerkan aksi yang cemerlang ketika pasukannya Ratchaburi FC turun menentang Nongbua Pitchaya FC pada perlawanan pusingan ke-16 kempen Piala Thai 2023.

Perlawanan tersebut merupakan penampilan pertamanya dalam kesebelan utama skuad itu dan beliau telah beraksi selama 85 minit.


Ratchaburi berjaya mara ke peringkat seterusnya setelah menewaskan Nongbua Pitchaya menerusi penetuan sepakan penalti yang berakhir dengan 5-4.

Sebelum itu, Safawi telah melakukan debutnya bersama kelab itu ketika turun beraksi menentang Khon Kaen United untuk perlawanan Thai League 1 di mana Ratchaburi telah tewas 2-0.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-48 dan beliau juga berjaya menjaringkan gol namun terpaksa dibatalkan oleh Video Asistant Referee (VAR) kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Perkembangan Safawi di Thailand Nampak begitu positif apabila kedua-dua aksinya untuk Ratchaburi mendapat reaksi yang cukup positif daripada peminat kelab itu.

Sentuhan Safawi juga tampak masih berbisa meskipun sudah lama tidak bermain di untuk kelab lamanya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Untuk musim 2022, Safawi jarang mendapat minit permainan bersama JDT di mana beliau hanya melakukan 13 penampilan untuk Liga Super dan kesemuanya sebagai pemain gantian.

Meskipun masuk sebagai pemain gantian beliau tetap berjaya menjaring tiga gol serta melakukan dua bantuan gol.

Manakala, untuk saingan Liga Juara Juara AFC (ACL) Safawi telah melakukan sebanyak enam penampilan dan hanya sekali sahaja bermain sebagai kesebelasan utama.

Untuk saingan Piala FA 2022, beliau hanya membuat tiga penampilan dan Piala Malaysia 2022 juga hanya melakukan dua penampilan.

Disebabkan itu, rata-rata peminat bola sepak Malaysia merasakan perpindahannya ke Ratchaburi merupakan satu tindakan yang tepat untuk beliau mendapat minit permainan yang cukup.

Dalam pada itu, peminat Ratchaburi turut menyifatkan yang Safawi beraksi dengan sangat baik ketika menentang Khon Kaen dan mereka amat menyukainya.

Mereka juga menyatakan yang beliau banyak mencipta peluang-peluang yang baik untuk Ratchaburi.

Safawi juga dikatakan telah memberi yang terbaik serta tidak berhenti berlari sehingga beliau dikeluarkan pada minit ke-85.

Peminat Ratchaburi turut menyatakan yang beliau beraksi lebih baik berbanding pemain import yang lain.

Di harap Safawi akan terus memberi persembahan yang sebegitu sepanjang tempoh pinjamannya bersama Ratchaburi.

Semoga beliau juga mampu untuk kembalikan persembahan terbaiknya serta menemui kembali sentuhan berbisanya pada masa hadapan.

Mana tahu jika Safawi beraksi dengan baik, pihak pengurusan Ratchaburi akan menandatangani beliau secara tetap bak kata pepatah ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.’

Untuk rekod, Safawi menyertai Ratchaburi dari JDT secara pinjaman untuk semusim.