MFL akhirnya nampak visi TMJ, awalkan sepak mula kepada waktu petang beri kebaikan kepada bola sepak tempatan

2,985

Malaysian Football League (MFL) baru sahaja mengumumkan jadual Liga Super untuk musim 2023 dan ada satu kejutan telah berlaku buat peminat bola sepak tempatan di mana masa sepak mula perlawanan telah diawalkan.

Untuk semenanjung Malaysia, masa sepak mula akan bermula pada pukul 5.30 petang manakala bagi Sabah dan Sarawak masa sepak mula mereka ialah pukul 4.30 petang.


Dari sudut positif perubahan itu boleh meningkatkan nilai komersil Liga Malaysia kerana lebih banyak slot yang wujud berbanding jadual sebelum ini.

Ini dapat memperbanyakkan lagi jumlah perlawanan yang boleh disiarkan secara langsung kepada para peminat.

Dalam pada itu, perkara ini sebenarnya sudah lama diusulkan oleh pemilik kelab Johor Darul Ta’zim iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris sejak tahun lalu lagi.

TMJ pernah berkata yang baginda amat suka kalau perlawanan diadakan di sebelah petang kerana suasanya seperti di Eropah.

Tambahnya, waktu permainan di sebelah petang lebih panjang berbanding malam dan dapat memberi peluang kepada penyokong untuk hadir beramai-ramai ke stadium serta ianya dapat juga beri pilihan waktu siaran langsung yang pelbagai.

MFL sebelum ini berkata pihaknya akan mempertimbangkan cadangan baginda, dan terbukti ia satu idea yang baik dan akhirnya diguna pakai oleh MFL.

Tidak dapat disangkal lagi yang baginda sebenarnya memang sentiasa berfikir mengenai cara untuk meningkatkan tahap bola sepak Malaysia secara menyeluruh bukan sahaja pasukan JDT.

Terdahulu, TMJ ada melakukan lawatan ke wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika baginda melawat sesi latihan skuad negara untuk kempen Piala AFF 2022.

Selepas lawatan itu, TMJ telah membenarkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menjadi rumah untuk skuad kebangsaan kerana Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjalankan proses penukaran rumput pada bulan Mac.

Terbukti, apa yang TMJ lakukan ini bukan sahaja untuk naikkan pasukan baginda tetapi untuk menaikkan pembangunan bola sepak Malaysia agar pasukan lain juga mampu bersaing seperti JDT.