STY terus diberi kepercayaan walau tersingkir di ‘semi-final’ Piala AFF, KPG juga perlu terus diberi sokongan padu di Malaysia

332

Selepas kekalahan Indonesia kepada Vietnam dengan agregat 2-0 pada perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022, ada segelintir pihak yang menyuruh ketua jurulatih mereka iaitu Shin Tae-yong untuk berundur daripada pasukan kebangsaan Indonesia.

Mereka berang kerana Indonesia masih gagal untuk membawa pulang Piala AFF buat pertama kali.


Walaubagaimanapun, Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Mochammad Iriawan (Iwan Bule) tampil untuk mempertahankan Tae-yong dengan memberi jaminan yang jurulatih tersebut akan kekal bersama skuad Indonesia sehingga kontraknya tamat.

Iwan Bule menyatakan yang keputusan itu dibuat adalah untuk memberi ruang kepada Tae-yong mempersiapkan pasukan B-20 Indonesia menjelang Piala Dunia B-20.

Beliau turut menyatakan yang dirinya amat puas dengan kerja yang dilakukan oleh Tae-yong serta menyifatkan kerja yang dilakukan oleh jurulatih itu amat laju.

Tambahnya, skuad Indonesia kini dibarisi ramai pemain muda sehingga Tae-yong berjaya menaikkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) indonesia daripada 172 kepada 151 di dunia.

Iwan Bule berharap agar Tae-yong diberi masa oleh penyokong bola sepak Indonesia serta mempercayai proses yang dilakukan oleh jurulatih itu.

Seperti Indonesia, Malaysia juga tewas kepada Thailand dengan agregat 3-2 pada perlawanan separuh akhir Piala AFF dan juga segelintir peminat yang bising kerana pasukan negara mempamerkan corak permainan yang teruk.

Tetapi mereka tidak boleh ‘melatah’ kerana mereka harus melihat kesukaran yang dihadapi oleh jurulatih negara iaitu Kim Pan-gon di mana sebelum kempen Piala AFF bermula ada pemain yang menolak panggilan kebangsaan, ada yang tidak datang latihan berpusat serta ada juga yang mengalami kecederaan.

Faktor tersebut perlu di ambil kira oleh peminat bola sepak Malaysia sebelum mereka mengkritik Pan-gon.

Dengan skuad yang beliau ada, pasukan negara masih mampu mara ke separuh akhir dan itu sudah melebihi jangkaan ramai orang kerana edisi seblum ini mereka terkandas di peringkat kumpulan.

Seperti rakan sejawatnya di Indonesia, Pan-gon juga perlu diberi sokongan padu bukan sahaja oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi juga seluruh pihak yang terlibat dalam arena bola sepak tempatan termasuklah penyokong.

Pan-gon dilantik oleh FAM pada Januari 2022 untuk mengantikan bekas jurulatih iaitu Tan Cheng Hoe.

Sejak dilantik, skuad Harimau Malaya telah menujukkan banyak peningkatan terutama daripada corak permainan dan ranking negara juga turut meningkat daripada 154 kepada 145 di dunia.

Pasukan negara juga turut layak untuk beraksi di Piala Asia 2023 dengan hasil bimbingan Pan-gon.

Banyak perkara baik serta perubahan yang beliau dah lakukan untuk skuad kebangsaan negara.

Jadi, peminat bola sepak negara harus bersabar dengan apa Pan-gon lakukan serta mempercayai proses itu.

Apa yang penting adalah beliau juga perlu mendapat sokongan daripada pihak kelab dari setiap aspek untuk membawa lebih banyak kejayaan kepada Malaysia.

Dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh semua pihak tidak mustahil suatu hari nanti Pan-gon boleh tinggalkan legasi yang lebih besar daripada rakan senegaranya, Park Hang-seo ketika membimbing Vietnam.