Beraksi tanpa jurulatih tindakan tepat? Lee Zii Jia harus bangkit segera, tempat ke Olimpik 2024 jadi taruhan

403

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sekali lagi ditunjukkan jalan keluar pada pusingan 16 terakhir di Indonesia Master setelah tewas kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long dengan keputusan 21-16, 20-22, 13-21 dalam tempoh 65 minit.

Kekalahan itu merupakan kekalahan ketiga buat Zii Jia di pusingan awal di mana sebelum ini beliau turut tersingkir di pusingan awal iaitu pusingan ke-32 untuk Terbuka Malaysia dan pusingan ke-16 untuk Terbuka India.


Ketiga-tiga kejohanan tersebut merupakan kejohanan yang beliau lalui tanpa sebarang bimbingan jurulatih dan beliau tidak berjaya untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Terdahulu, juara Asia itu telah mengambil keputusan untuk bergerak tanpa jurulatih pada penghujung November lalu.

Namun, adakah keputusannya itu merupakan keputusan yang tepat kerana sejak beraksi tanpa jurulatih pemain berusia 25 tahun itu dilihat tidak berjaya mempamerkan prestasi yang memberangsangkan.

Ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) beliau juga turun daripada tangga kedua di dunia hingga tangga keempat di dunia.

Mungkin sudah tiba masanya untuk Zii Jia mempertimbangkan keputusannya untuk bergerak tanpa jurulatih kerana prestasinya kini tidak berada di landasan yang bagus dan kini beliau hanya dibantu oleh rakan sparring iaitu Liew Darren.

Bimbingan dari jurulatih mungkin mampu membantu bekas juara All England 2021 itu mencari prestasi terbaiknya.

Mungkin juga beliau masih belum menjumpai jurulatih yang sesuai untuk membimbingnya buat masa ini, disebabkan itu memilih untuk bergerak tanpa jurulatih.

Walaubagaimanapun, kutipan mata untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 akan bermula pada 1 Mei dengan Piala Sudirman akan menjadi kejohanan pertama yang menawarkan mata kelayakan.

Jika Zii Jia tidak kembalikan prestasi terbaiknya, berkemungkinan besar beliau akan terlepas peluang untuk beraksi di temasya sukan berprestij itu kerana sebelum ini beliau juga pernah terlepas untuk beraksi Jelajah Dunia Akhir BWF 2022.

Tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ pemuda berasal dari Alor Setar, Kedah itu harus memperbaiki prestasinya kerana beliau merupakan antara sandaran negara untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik tersebut.

Diharap Zii Jia akan bangkit semula dan mencari rentak terbaiknya kerana beliau masih lagi perseorangan lelaki terbaik di Malaysia ketika ini.