Zamsaham tak mahu tinggalkan Riau FC dalam keadaan bermasalah, hanya akan jual dengan harga berpatutan
Pemilik Riau FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengakui beliau menerima tawaran daripada empat pihak untuk mengambil alih kelab itu.
Namun, beliau hanya akan melepaskan kelab itu sekiranya mendapat tawaran yang berpatutan dan memberi keutamaan kepada warga Riau terlebih dahulu.
“Untuk kelab Riau, saya ada dapat tawaran dari empat individu yang berminat untuk mengambil alih, ada yang mahu bawa pasukan itu ke Jawa, ada yang mahu bawa ke Papua.
Bagi saya jika mahu lepaskan biarlah beri keutamaan kepada orang Riau dahulu, jika tiada baru saya pertimbangkan tetapi mereka harus beli dengan harga yang berpatutan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Zamsaham, walaupun berdepan tekanan, beliau tidak mahu melepaskan kelab itu dalam keadaan yang bermasalah, dan mahu menyelesaikan segala isu dengan baik terlebih dahulu.
Beliau berkata, ketika ini Liga 2 Indonesia dibatalkan kerana banyak kelab yang mempunyai isu berkenaan kontrak pemain dan juga bajet.
“Liga 2 Indonesia untuk musim ini dibatalkan kerana insiden Stadium Kanjuruhan tahun lalu yang menyebabkan kematian 135 orang.
Jadi sekarang ini kami hanya menunggu arahan daripada PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) bila ia akan dilanjutkan kembali.”
Tambahnya, beliau masih lagi pemilik sah kelab itu dan jika tiada siapa yang mampu mengemukakan tawaran yang berpatutan beliau akan terus menguruskan kelab itu.
Zamsaham yang juga merupakan pemilik Kelantan FC melebarkan sayapnya ke arena bola sepak Indonesia tahun lalu.
Untuk rekod, Riau berada di kedudukan tercorot dengan satu seri dan lima kekalahan daripada enam perlawanan sebelum Liga 2 Indonesia dibatalkan.