Saya pernah cuba nasib DM TMJ untuk sertai JDT, tak sangka cara itu berjaya- Armin Maier

2,282

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman, Armin Maier mendedahkan yang beliau pernah menghubungi pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris pada tahun 2019 melalui ‘direct message’ (DM) untuk mendapatkan kontrak bersama kelab itu.

Armin berkata, ia bertujuan untuk menerangkan siapa dirinya serta ingin melakukan percubaan bersama kelab tersebut.


Pemain SV Heimstetten itu turut menyatakan dirinya amat terkejut kerana pemilik JDT itu tidak menunggu lama untuk membalas mesejnya itu.

“Semua orang tahu yang JDT adalah kelab terbesar di Malaysia, saya mencuba nasib dengan menghantar DM kepada baginda.

Saya tidak menjangka apa-apa, tapi keesokan harinya baginda balas dan saya amat terkejut.”

Katanya kepada Harimau Malaya.

Selepas itu, Armin terus diberi tawaran untuk menjalani percubaan bersama JDT.

Beliau telah menjalani percubaan selama empat minggu bersama kelab itu dan bermain beberapa perlawanan persahabatan.

“JDT telah memberi tawaran kepada saya untuk menghadiri sesi percubaan bersama kelab.

Mereka melakukan kerja dengan sangat pantas.”

Selepas percubaan itu, Armin menyatakan yang beliau telah ditawarkan kontrak bersama JDT sebagai pemain tempatan kerana kuota pemain import ketika itu sudah penuh.

Namun, pemain berusia 25 tahun itu tidak berjaya membuat penampilan sepanjang beliau bersama JDT kerana proses dokumentasi beliau mengambil masa yang lama.

Kemudian beliau memutuskan untuk berhijrah daripada JDT untuk mencari minit permainan agar kariernya terus berkembang.