Mula rasa dihargai di Buriram United, Dion Cools selesa di Thailand, lambat lagi untuk saksikan beliau di Liga Malaysia?

1,029

Pemain pertahanan negara, Dion Cools sudah mula mencuri tumpuan di Thailand apabila beliau telah menampilkan aksi yang cukup cemerlang bersama kelab barunya iaitu Buriram United FC.

Cools telah melakukan penampilan yang cukup baik terutama ketika perlawanan Thai League 1 di mana pasukannya bersama menumpaskan Muangthong United FC 2-1.


Beliau juga mendapat reaksi yang cukup positif daripada penyokong kelab itu di mana rata-rata mereka amat menyukai aksi yang ditampilkan olehnya.

Pemain berusia 26 tahun itu juga tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri di Thailand sehingga beliau berjaya disenaraikan dalam ‘Thai League 1’s Team of the Week’ apabila pasukannya berjaya menumpaskan Sukhothai FC 3-0 dalam aksi liga.

Setakat ini, Cools telah melakukan tiga penampilan bersama Buriram iaitu dua dalam aksi liga, satu penampilan dalam Piala Thai 2023 dan kesemuanya dalam kesebelasan utama pasukan.

Terdahulu, Cools menyertai Buriram pada Januari 2023 sebagai pemain bebas selepas kontraknya bersama kelab FK Jablonec telah tamat pada Disember 2022.

Menurut satu laporan dari media Thailand, pemain warisan Malaysia dari Belgium itu menyatakan yang dirinya amat gembira bermain di Thailand ketika ini.

 Beliau juga berkata tiada sebab untuknya berpindah ke mana-mana kelab buat masa ini.

Sebelum ini, Cools pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Malaysia dengan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dikhabarkan bakal menjadi destinasinya, namun ia hanya sekadar khabar angin.

Tetapi apa yang menguatkan khabar angin tersebut ialah ketika pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris seolah-olah memberi bayangan yang Cools akan sertai kelabnya apabila baginda memuat naik satu ‘story’ di laman sosial miliknya.

Tetapi perpindahan tersebut tidak berlaku sebaliknya Cools menyertai Buriram pada Januari.

Dalam pada itu, ramai pihak yang mempersoalkan perpindahan beliau ke Buriram sehingga ada mengatakan yang beliau seperti ‘downgrade’ kualitinya kerana memilih untuk bermain di Asia.

Namun, Cools membuktikan yang mereka salah apabila beliau menampilkan aksi yang cukup cemerlang dan membuktikan dirinya masih berada di prestasi yang baik.

Beliau juga berjaya mencetuskan impak yang segera untuk Buriram tanpa memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri.

Cools juga kelihatan sangat selesa untuk beraksi di Thailand dan  ramai orang sudah mula mengenalinya.

Beliau juga menegaskan yang dirinya masih mahu untuk beraksi di tahap yang tertinggi, jadi ianya seperti satu ‘hint’ yang perpindahannya ke mana-mana kelab tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata bahawa Buriram pernah menjadi salah satu kelab yang terbesar di Asia, jadi tidak hairanlah beliau mahu terus kekal bersama kelab itu.

Semoga berjaya buat Dion Cools.