Ada tawaran dari Colombia tapi karier saya di sana dah merudum, saya ke Selangor FC untuk cabaran baru – Ayron del Valle
Pemain import baharu Selangor FC, Ayron del Valle tekad mahu menyahut cabaran baru bersama kelab itu untuk cuba bersaing mendapatkan trofi.
Katanya, beliau telah melakukan kajian mengenai bola sepak Malaysia serta pasukan Selangor, dan yakin dengan pilihannya untuk menyertai kelab besar seperti Selangor.
“Memang saya ada tawaran dari Colombia tetapi karier saya sudah agak merudum di sana, apabila ada tawaran dari Selangor, saya berbincang dengan keluarga dan kemudian buat keputusan untuk ke sini.
Ini adalah cabaran baru buat saya, Selangor adalah kelab yang besar dan saya bersedia untuk bersaing dalam liga dan mendapatkan trofi,”
katanya.
Sementara itu, beliau merasakan bahawa umurnya yang sudah mencecah 34 tahun ini bukanlah penghalang untuknya mempamerkan prestasi yang baik.
Katanya, beliau tahu kebolehannya dan pada musim sebelum ini pun beliau telah beraksi dengan baik.
“Bagi saya umur bukanlah penghalang untuk saya bermain kerana saya masih beraksi dengan baik pada musim sebelum ini.
Saya tahu apa yang saya mampu lakukan, skil dan kebolehan saya, saya akan berikan yang terbaik di Selangor.”
Tambahnya, keluarganya juga teruja dengan perpindahan ini dan tidak sabar untuk memulakan kehidupan baru di Malaysia.
Beliau berharap mampu memberi impak bersama Selangor memandangkan ini merupakan kali pertama beraksi di Malaysia.