TMJ kenal mana kaca mana permata, KJ miliki pengalaman dan kredibiliti bawa JDT lebih berjaya
Kira-kira sehari selepas dipecat daripada parti UMNO, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak menunggu lama untuk ‘dirisik’ oleh kelab gergasi bola sepak negara, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dalam satu hantaran Instatory, pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuatnaik satu gambar bersama Khairy dengan kapsyen “Future JDTFC CEO and Johor Youth Adviser” (CEO JDT dan penasihat Belia Johor akan datang).
Perkara itu ternyata mengejutkan ramai pihak kerana ia berlaku dengan sekelip mata dan langsung tidak diduga oleh mana-mana pihak.
Namun, bagi insan seperti TMJ, baginda sememangnya tahu membezakan mana kaca dan mana permata, dan bijak mengambil peluang akan status Khairy yang kini bergelar ‘ejen bebas’.
Khairy juga bukanlah individu yang asing dalam arena sukan negara, lebih-lebih lagi dalam sukan bola sepak.
Beliau pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan selama satu penggal pada 2013 hingga 2018, dan boleh dianggap sebagai pemegang portfolio itu yang paling berjaya.
Ketika di bawah jagaannya, kontinjen negara mencatatkan pencapaian paling baik dalam Sukan Olimpik pada edisi 2016 di Rio de Janeiro dengan empat perak dan satu gangsa.
Malaysia juga menganjurkan Sukan SEA 2017 dengan jayanya serta menjadi juara keseluruhan di bawah seliaannya sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Beliau juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam merealisasikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang kini menjadi platform untuk melahirkan bakat bola sepak muda negara.
Di dalam sukan bola sepak pula, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2007.
Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang pencetus kepada idea kewujudan rancangan realiti pencarian bakat bola sepak pertama negara, MyTeam yang menjadi pencetus kepada kewujudan rancangan lain selepas itu.
Justeru tidak hairanlah sekiranya TMJ berminat untuk membawa Khairy ke dalam pasukan JDT kerana beliau memiliki kemahiran, idea, reputasi serta kredibiliti yang baik dalam bidang sukan.
Sementara itu, Khairy turut memberi bayangan bahawa beliau telah menerima tawaran itu dengan membalas Instastory TMJ itu “One door closes, others will open. Rezeki di tangan Allah”.
Ketika ini masih belum dipastikan bila masanya Khairy akan diberi peranan itu, sama ada dalam masa terdekat atau beberapa tahun lagi, namun peminat pastinya ternanti-nanti gandingan dua individu yang mempunyai pengaruh besar dalam sukan bola sepak di Malaysia itu.