Terus catat rekod baharu, peningkatan Azeem Fahmi terus cemerlang, mampu menyinar di peringkat Asia satu hari nanti

520

Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi terus mempamerkan peningkatan yang memberangsangkan selepas berkelana di Amerika Syarikat apabila mencatat rekod kebangsaan acara 60 meter dalam dewan dengan catatan 6.63 saat pada Kejohanan Texas Tech Open&Multi di Texas.

Kejayaan itu sekaligus memecahkan rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang oleh Watson Nyambek dengan catatan 6.66 saat pada Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999.


Azeem yang mewakili Auburn (FR) kemudian mencatatkan 6.65 saat pada saingan akhir untuk menduduki tangga kedua di belakang Micah Williams yang mewakili Oregon (SO) yang mencatatkan 6.49 saat.

Ketika ini, beliau dilatih oleh Ken Harnden yang merupakan bekas pelari pecut Zimbabwe dan juga di bawah kendalian legenda pecut Amerika Syarikat, Leroy Burell yang merupakan ketua jurulatih trek dan padang di Universiti Auburn.

Peningkatan yang ditunjukkan oleh Azeem amatlah mengagumkan, lebih-lebih lagi dengan usianya yang masih muda dan berjaya memecahkan satu demi satu rekod kebangsaan, di mana Watson berusia 23 tahun ketika mencatatkan rekod tersebut.

Pada Ogos tahun lalu, beliau berjaya memecahkan rekod 100 meter negara dengan catatan 10.09 saat, mengatasi catatan yang dilakukan oleh Khairul Hafiz Jantan iaitu 10.18 saat.

Tahun ini, beliau baru sahaja berusia 19 tahun, dan dibawah bimbingan yang betul tidak mustahil beliau mampu menjadi rakyat Malaysia pertama yang mencatat sub-10.

Burell yang merupakan pemenang pingat emas Olimpik dan juga Kejohanan Dunia dilihat sebagai individu yang tepat dalam mencungkil potensi sebenar Azeem untuk merealisasikan perkara tersebut.

Azeem sebelum ini dilaporkan tidak akan menyertai Sukan SEA Kemboja tahun ini untuk memberi fokus kepada kejohanan yang jauh lebih besar bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.

Dengan keazaman dan cita-cita besar yang ditunjukkan oleh pelari muda ini, beliau menjadi harapan seluruh peminat sukan di Malaysia dalam acara pecut balapan.

Sekiranya beliau terus mengekalkan tahap disiplin yang tinggi serta terus meningkatkan prestasi, di bawah bimbingan yang betul, beliau akan menjadi raja pecut baru di Asia Tenggara satu hari nanti, dan tidak mustahil di peringkat Asia.