Insiden baling batu terus cemari Liga 1 Indonesia, penyokong ibarat tidak belajar dari tragedi Stadium Kanjuruhan

648

Kira-kira sebulan lebih bersambung semula selepas dihentikan seketikan gara-gara tragedi Stadium Kanjuruhan, Liga 1 Indonesia kembali hangat dengan insiden keganasan baru-baru ini.

Selepas perlawanan antara PSS Sleman dan Arema Khamis lalu, terdapat beberapa penyokong PSS Sleman melemparkan batu kepada bas pasukan Arema.


Manakala pada satu lagi perlawanan liga semalam, bas pasukan Persis Solo pula dibaling batu oleh penyokong Persita selepas perlawanan.

Selepas insiden Stadium Kanjuruhan yang menyebabkan 135 nyawa terkorban, ramai yang beranggapan bahawa peminat bola sepak di negara itu akan belajar sesuatu.

Lebih-lebih lagi penyokong Arema yang juga terlibat dalam tragedi berdarah itu ketika perlawanan kelab itu menentang Persebaya Surabaya.

Tetapi nampaknya insiden keganasan melibatkan penyokong terus berlaku dan apa yang lebih teruk adalah para pemain turut menjadi sasaran.

Pada perlawanan Kumpulan A Piala AFF 2022 membabitkan Indonesia dan Thailand yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno Disember lalu, bas pasukan Thailand telah diserang juga dengan batu sebelum perlawanan.

Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam bola sepak yang sepatutnya menjadi medium untuk menyatupadukan antara semua negara, bangsa dan agama.

Di saat pasukan kebangsaan Indonesia semakin menunjukkan peningkatan di bawah pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-yong, mentaliti penyokong pula masih lagi jauh ketinggalan dan terus diliputi dengan keganasan.

Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memberikan sokongan kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam melakukan reformasi kepada arena bola sepak negara itu.

Pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga bersama-sama dalam memastikan bola sepak Indonesia kembali pulih selepas tragedi Stadium Kanjuruhan.

Namun, usaha kesemua badan bola sepak itu seperti tidak berhasil kerana para penyokong masih lagi tidak mahu berubah dan mengambil pengajaran daripada insiden lalu.

Mungkin FIFA atau PSSI sendiri yang harus bertegas dalam memberi pengajaran kepada mereka, contohnya dengan mengharamkan penyokong ke stadium selama beberapa ketika supaya tiada insiden yang tidak diingini berlaku lagi.

PSSI selepas ini bakal diterajui oleh presiden yang baharu selepas Mochammad Iriawan atau Iwan Bule mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan presiden akan datang.

Presiden yang akan datang haruslah menjadikan reformasi penyokong sebagai salah satu perkara utama yang harus diberi perubahan apabila menjawat jawatan berkenaan.