Negeri Sembilan FC mungkin boleh jadi ‘the next’ PJ City FC?

638

Saingan Liga Super 2023 bakal membuka tirainya tidak lama lagi dan setiap kelab ketika ini sedang rancak membuat persiapan rapi bagi memantapkan skuad.

Ketika kelab-kelab lain sibuk menandatangani pemain-pemain import baru, berbeza pula dengan Negeri Sembilan FC yang dilihat hanya menandatangani pemain tempatan seperti Shahrel Fikri, Mahali Jasuli, Sikh Izhan dan beberapa lagi.


Mungkin pihak kelab mempunyai perancangan untuk menandatangani pemain import dalam masa terdekat ini, namun buat masa ini tiada sebarang khabar angin yang kuat mengatakan mereka akan membawa masuk pemain import baru.

Berdasarkan semakan di laman sesawang transfermarkt bagaimanapun memperlihatkan terdapat dua kelibat pemain import iaitu Yashir Islame dan Matheus Alves, namun status mereka masih belum dapat dipastikan berikutan kedua-dua pemain itu menyertai pasukan itu musim lalu dan tarikh akhir kontrak tidak dinyatakan.

Melihat pula pada beberapa perlawanan pra-musim skuad Jang Hobin baru-baru ini, pemain kesebelasan utama pula terdiri daripada kesemua pemain tempatan, sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat samada Negeri Sembilan akan menggunakan pemain tempatan sepenuhnya musim ini atau sebaliknya.

Mungkinkah Negeri Sembilan akan mengambil pendekatan sama seperti yang dilakukan oleh PJ City FC sebelum ini yang terkenal dengan slogan mereka iaitu #Yakinilokal apabila menggunakan 100% pemain tempatan untuk mengharungi saingan liga.

Semua sedia maklum dengan penarikan diri PJ City dari saingan Liga Super untuk musim ini selepas terpaksa akur dengan keputusan pengurusan tertinggi kelab itu.

Walaupun beraksi dengan menggunakan pemain tempatan, PJ City tetap mampu beri saingan sengit dan berjaya kekal berada di pertengahan liga.

Malah mereka juga diberi gelaran sebagai pasukan ‘kuda hitam’ apabila sering melakukan kejutan kepada kelab gergasi seperti Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC dan beberapa lagi.

Lebih menakjubkan lagi, biarpun tidak berada di puncak liga tetapi PJ City telah berjaya melahirkan beberapa pemain kebangsaan seperti Darren Lok, Kogileswaran Raj, V. Ruventhiran dan Kalamullah Al-Hafiz.

Ini membuktikan pendekatan yang dilakukan oleh The Phonenix itu adalah sesuatu yang cukup bagus untuk bola sepak negara.

Jika Negeri Sembilan mengikut jejak langkah PJ City pada musim ini, mungkin mereka mampu mengembalikan prestasi sebenar penyerang Shahrel Fikri dan melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti yang boleh diserap ke skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon.

Apa pun sama-sama kita nantikan perkembangan terbaru Negeri Sembilan dalam masa terdekat ini samada mereka akan membawa masuk pemain import baru atau akan kekal dengan pemain tempatan.

Pada musim lalu, Negeri Sembilan telah mengejutkan ramai apabila berjaya menamatkan saingan liga pada tangga keempat walaupun hadir sebagai pasukan baru naik dari Liga Perdana.