Ortuseight ambil Faisal Halim jadi duta di Malaysia kerana beliau pemain terhebat di sini – Yuda Amardika

956

Pengurus Jenama Ortuseight, Yuda Amardika mendedahkan sebab pihaknya memilih pemain Selangor FC, Faisal Halim sebagai duta jenama itu di Malaysia adalah disebabkan reputasi yang dimilikinya mampu memperkenalkan jenama itu dengan lebih dekat kepada rakyat negara ini.

Menurutnya, selain daripada popularitinya, Faisal Halim juga mempunyai ciri- ciri lain yang mereka mahukan untuk mewakili jenama itu di Malaysia.


“Kita tahu bahawa beliau seorang pemain bola sepak paling terkemuka di Malaysia ketika ini, jadi kami rasa kami membuat pilihan yang tepat.

Kami yakin beliau mampu membawa jenama ini menjadi lebih terkenal di Malaysia dengan reputasi yang beliau ada,”

katanya kepada Harimau Malaya

Beliau berkata, apabila mengetahui kontrak Faisal bersama jenama sebelum ini bakal habis, mereka dengan segera menghubungi pemain itu, dan gembira mereka mampu mencapai kata sepakat.

Katanya, mereka melihat Faisal sebagai seorang pemain yang mempunyai konsistensi serta sikap yang bagus, dua elemen penting yang dititikberatkan sebagai seorang duta Ortuseight.

“Kita lihat beliau bukan sahaja bagus di padang tetapi memiliki sikap yang baik dan pandai membawa diri dengan penyokong dan juga di media sosial.

Kami ambil pemian yang hebat seperti beliau untuk buktikan bahawa jenama kami juga amat bagus untuk dipakai oleh pemain profesional walaupun dengan harga yang berpatutan.”

Selain Faisal, Ortuseight turut melantik dua lagi atlet sebagai duta mereka di Malaysia iaitu pemain futsal Selangor Mac, Fariq Muhd dan atlet Ironman, Mohd Firdaus Mohd Sahir.

Kesemua mereka menandatangani kontrak dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Wyndham Acmar, Klang sebentar tadi.