Kerap pamerkan aksi cemerlang di Ratchaburi, nilai pasaran Safawi Rasid bakal meningkat

2,434

Penyerang negara Safawi Rasid sekali lagi menjadi perhatian apabila berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang dalam saingan Thai League 1 ketika pasukannya Ratchaburi FC turun menentang Lamphun Warrior FC yang berkesudahan seri 1-1.

Namun, perlawanan tersebut dicemari dengan beberapa insiden kekasaran di mana Safawi telah menerima terjahan dari belakang dengan keras daripada pemain Lamphun iaitu Mika Chunuonsee.


Hasil daripada terjahan itu, beliau terpaksa dikeluarkan pada minit ke-56 dan Chunuonsee turut menerima layangan kad merah daripada pengadil.

Sejak menyertai Ratchaburi pada Januari lalu, pemain berusia 26 tahun itu telah mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan sehingga beliau telah mendapat kepercayaan ketua jurulatih iaitu Xavi Moro.

Sebelum ini, Safawi telah melakukan debutnya bersama Ratchaburi pada aksi Thai League 1 menentang Khon Kaen United di mana mereka telah tewas 2-0.

Meskipun tewas, beliau yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-48 telah berjaya menjaringkan gol namun dibatalkan oleh Video Asistant Referee (VAR) kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Sejak daripada perlawanan itu, Safawi terus mendapat kepercayaan jurulatih apabila diturunkan dalam kesebelasan utama dalam tiga perlawanan seterusnya.

Beliau membalas kepercayaan tersebut dengan memberikan aksi yang cemerlang dalam ketiga-tiga perlawanan itu.

Safawi turut membuktikan kemampuan serta kualiti yang ada padanya sehingga berjaya mencuri tumpuan peminat kelab itu.

Setakat ini, Safawi telah bermain empat perlawanan bersama Ratchaburi termasuk perlawanan Piala Thai 2023.

Daripada empat perlawanan tersebut, hanya satu perlawanan sahaja beliau bermula dari bangku simpanan dan selebihnya bermula sebagai kesebelasan utama.

Dalam pada itu, Safawi pernah menyatakan yang perpindahannya ke Thailand adalah untuk mencari minit permainan serta ingin kembalikan persembahan terbaiknya.

Ternyata apa yang beliau dikatakan itu semakin hampir menjadi kenyataan apabila kerap kali diturunkan dalam kesebelasan utama serta mempamerkan persembahan yang bagus di atas padang.

Dengan prestasi semasa ini, ia telah memberi bayangan awal bahawa beliau berkemungkinan akan menjadi pilihan ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menyenaraikannya menjelang kejohanan Pestabola Merdeka dan Piala Asia 2023.

Di samping itu, dengan mempamerkan prestasi yang memberangsangkan ianya secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai pasaran beliau.

Nilai semasa Safawi sekarang adalah €250 ribu (sekitar RM1.15 juta) dan tidak mustahil nilai itu akan meningkat dari tidak lama lagi sekiranya beliau terus mempamerkan aksi memberangsangkan.

Berkemungkinan besar nilainya pada masa akan datang akan melebihi nilai tertinggi beliau iaitu €325 ribu (sekitar RM1.5 juta) dan bakal menjadi rekod baru untuk dirinya.

Untuk rekod, nilai pasaran Safawi ketika permulaan kariernya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2017 adalah €75 ribu (sekitar RM346 ribu).

Harga pasaran beliau telah meningkat hingga RM1.5 pada tahun 2022 kerana mempamerkan aksi yang cemerlang bersama JDT

Namun, harga pasaran Safawi telah menurun ekoran kecederaan serta prestasinya yang juga merudum pada dua atau tiga musim yang lepas.

Apa-apa pun semoga Safawi dapat memberikan aksi yang terbaik sepanjang tempoh pinjamannya bersama Ratchaburi.

Selamat maju jaya buat Safawi Rasid.