Perlawanan menentang Australia jadi medan terbaik bagi Kim Pan-gon bentuk skuad ampuh

4,207

Pasukan kebangsaan Australia dijangka bakal mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Malaysia pada Mac nanti dan perlawanan tersebut berkemungkinan akan berlangsung di Perth, Australia.

Kali terakhir skuad kebangsaan Malaysia menentang Australia adalah pada tahun 2011 di mana pasukan negara telah tewas 5-0.


Ketika itu pasukan Malaysia masih berada di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal.

Semua sedia maklum bahawa pasukan Australia bukan sebuah pasukan kerdil, sebaliknya mereka adalah pasukan gergasi di Asia dan berada di ranking ke-27 dunia ketika ini.

Malah, mereka juga merupakan 16 pasukan terbaik yang berjaya layak ke Pusingan 16 di Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar baru-baru ini.

Jadi, kualiti yang ada pada pasukan Australia sangat tinggi dan ia akan menjadi medan terbaik buat jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon menguji tahap keserasian dan kekuatan anak buahnya menjelang kejohanan Pestabola Merdeka dan Piala Asia 2023.

Pasukan negara juga dapat menimba pengalaman yang berharga apabila menentang pasukan Australia nanti.

Dalam pada itu, perlawanan persahabatan ini bakal memperlihatkan Pan-gon akan mempunyai banyak pilihan pemain untuk dibawa sekaligus memudahkan kerja beliau dan barisan kejurulatihan lain untuk membentuk skuad yang ampuh.

Terdahulu ketika kempen Piala AFF 2022, Pan-gon terpaksa membawa skuad berbeza berikutan majoriti pemain yang beraksi dalam kelayakan Piala Asia 2023 tidak dapat bersama skuad negara.

Bagaimanapun selepas mencipta kejayaan mara ke separuh akhir, Pan-gon kini mempunyai pilihan pemain yang lebih banyak untuknya memilih pemain mana yang sesuai dan layak untuk mewakili negara.

Pemilihan pemain sangat penting kerana perlawanan persahabatan ini berada dalam kalendar FIFA dan sudah semestinya menawarkan mata ranking yang berharga buat skuad Harimau Malaya.

Diharap Pan-gon akan memilih pemain yang terbaik untuk perlawanan persahabatan ini dan semoga pemain yang dipilih nanti akan membalas balik kepercayaan beliau dengan mempamerkan aksi cemerlang.