Mampukah Lee Zii Jia ikut rejim latihan Lee Chong Wei?

2,866

Baru-baru ini lagenda badminton negara, Dato’ Wira Lee Chong Wei telah menawarkan dirinya untuk membantu jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia bangkit daripada episod hitam yang kini sedang melanda pemain itu.

Chong Wei yang merupakan pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga edisi menawarkan dirinya sebagai ‘motivator’ kepada Zii Jia setelah melihat pemain itu tersungkur di pusingan awal dalam ketiga-tiga kejohanan yang disertainya iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Indonesia Masters.


Beliau ingin membantu pemain berusia 25 tahun itu untuk mendapatkan kembali tahap keyakinan serta persembahan terbaiknya.

Meskipun sebagai ‘motivator’, Zii Jia perlu ambil segala ilmu dan pengalaman yang ada pada Chong Wei untuk beliau memperbaiki tahap permainannya termasuklah mengubah rejim latihannya.

Namun, adakah beliau mampu untuk mengikuti rejim latihan Chong Wei kerana rejim latihan tersebut melibatkan stamina serta fizikal yang kuat.

Dengan latihan seperti itulah yang mampu menjadikan siapa Chong Wei pada hari ini.

Selain daripada latihan yang keras, Chong Wei juga mempunyai disiplin yang tinggi serta mental yang kuat.

Jadi, jika Zii Jia ingin berada pada tahap tertinggi lebih lama serta konsisten dalam persembahannya, beliau perlu mengikut cara Chong Wei.

Tidak perlu mengikut 100% cara yang sama, mungkin hanya ambil sedikit sahaja cara latihan Chong Wei tetapi ia mampu memperbaiki mutu permainannya.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu juga perlu mempunyai kekuatan mental serta fizikal yang kuat kerana sejak kebelakangan ini ianya kelihatan agak rapuh.

Beliau juga perlu mempunyai stamina yang tinggi agar dapat bertahan dalam gelanggang dengan lebih lama dan tidak cepat penat.

Mungkin dengan mengikuti rejim latihan seperti Chong Wei, Zii Jia boleh kembali ke pretasi terbaiknya dan bukan itu sahaja, beliau juga boleh memiliki kekuatan mental, fizikal dan stamina yang lebih stabil.

Dalam pada itu, Zii Jia juga harus mempertingkatkan lagi corak permainannya kerana ia tidak kelihatan menyakinkan sejak akhir-akhir ini.

Mungkin beliau perlu menukar corak permainan pantas kepada corak permainan rally supaya dapat membina keyakinan sebelum melakukan pukulan penyudah.

Kepelbagaian corak permainan juga mampu membantu beliau untuk menjadi seorang pemain yang sukar untuk diramal sekaligus dapat mengelirukan pemain lawan dalam setiap gerakannya.

Zii Jia perlu gunakan kelebihan yang beliau ada untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan tidak mengikut mana-mana cara permainan pemain lain.

Diharap beliau mampu untuk memperbaiki mutu permainannya agar lebih konsisten kerana beliau masih muda dan merupakan perseorangan terbaik lelaki negara ketika ini.