Saya salahkan ibu bapa kerana kurang beri pendedahan bola sepak dekat anak-anak mereka – Francis Lee
Sukan bola sepak begitu dekat dengan rakyat Malaysia terutama kaum Melayu di mana sukan ini begitu sinonim dengan mereka dan amat jarang untuk melihat kaum lain menonton bola sepak Liga Malaysia.
Kaum lain seperti Cina amat dekat dengan sukan seperti badminton, bola keranjang dan tidak begitu dekat dengan sukan bola sepak tanah air.
Tetapi berbeza pula dengan Francis Lee yang sememangya meminati bola sepak terutama bola sepak tempatan.
Francis berkata beliau mula meminati bola sepak tempatan sekitar tahun 2010 ketika menonton Sri Pahang FC yang ketika itu dikenali sebagai Pahang FA beraksi di Liga Premier di kaca televisyen.
Dari situ beliau meminati bola sepak terutama pasukan Pahang dan terus mengikuti perkembangan pasukan itu sehingga ke hari ini.
“Saya mula tengok bola sekitar tahun 2010 dan ketika itu saya tengah menonton pasukan Pahang bermain di Liga Premier di televisyen.
Dari situ saya mula mengikuti perkembangan pasukan Pahang terutama pada musim 2013 dan 2014 di mana pasukan Pahang tengah berada di kemuncak prestasi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Francis turut berkata yang pemain import kegemarannya ialah Mathias Conti dan pemain tempatan kegemarannya ialah Khairul Azhan.
Menurutnya, pemain tersebut merupakan antara kunci utama pasukan Pahang berjaya mencapai pelbagai kejayaan.
Tambahnya, hanya pasukan Pahang sahaja yang mampu mencabar Johor Darul Ta’zim (JDT) pada ketika itu.
Di samping itu, Francis turut menyatakan yang beliau mula menonton perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan Malaysia pada tahun yang sama iaitu sekitar 2010 dan pertama kali ke stadium pada tahun 2019.
Beliau turut berkata yang perlawanan terbaik yang beliau pernah hadir ke stadium ialah ketika perlawanan menentang pasukan Indonesia.
Bercerita lanjut mengenai prestasi skuad Harimau Malaya ketika ini, beliau memuji ketua jurulatih Kim Pan-gon yang telah banyak membawa perubahan terutama dari segi kualiti sejak beliau dilantik.
Tambahnya, kualiti yang Pan-gon berjaya bawa ialah pemain lebih berdisiplin serta mempunyai sistem atau taktikal yang bagus.
“Pan-gon berjaya membawa kualiti yang cukup bagus untuk pasukan kebangsaan.
Kualiti yang beliau berjaya bawa ialah disiplin dan kita jarang lihat pasukan kebangsaan main ‘long ball’ sebab sekarang sudah ada taktikal serta sistem.”
Dalam pada itu, Francis turut mendedahkan antara sebab mengapa tidak ramai kaum Cina meminati serta menonton bola sepak terutama bola sepak tempatan adalah kerana kurang pendedahan serta mempunyai mentaliti yang kurang bagus.
Beliau berkata, kebanyakkan ibu bapa hanya menonton sukan seperti badminton dan bola keranjang sahaja dan jika mereka menonton bola sepak pun ianya bola sepak antarabangsa seperti Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Kaum Cina banyak main bola keranjang dan badminton kerana banyak pendedahan yang diberikan manakala sukan bola sepak tidak.
Di sekolah pun sama, di mana tidak mereka mempunyai pasukan bola sepak dan hanya memiliki pasukan badminton dan bola keranjang,”
Francis turut berkata yang kebanyakkan mentailti mereka masih berada di zaman 70an di mana ketika itu pasukan negara cukup gah dalam arena bola sepak.
Beliau turut menyatakan yang ada sahaja kaum Cina yang menonton serta mengikuti bola sepak tempatan cuma jumlahnya tidak ramai.
Tambahnya, senario ini sudah mula berubah tetapi ianya masih memerlukan masa.