Kurang sebulan Liga Super akan membuka tirai tapi penyiar rasmi masih belum diumum

467

Peminat bola sepak tanah air semakin teruja apabila saingan Liga Super bakal membuka tirainya pada 24 Februari ini yang akan menyaksikan perlawanan membabitkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Bagaimanapun disebalik keterujaan peminat untuk menyaksikan saingan liga, persoalan yang masih menjadi tanda tanya peminat adalah bilakah pihak Malaysian Football League (MFL) akan mengumumkan penyiar rasmi Liga Malaysia untuk musim 2023.


Ini kerana sehingga kini masih lagi tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai perkara itu sedangkan liga bakal pun bermula.

Ketika ini dilaporkan bahawa penyiar rasmi Liga Malaysia musim lalu iaitu Unifi tidak akan menjadi penyiar rasmi lagi untuk musim ini.

Walaupun masih tiada sebarang pengesahan atau perkembangan terkini, namun ada khabar angin yang mengatakan Astro bakal kembali menjadi penyiar rasmi musim ini.

Difahamkan juga Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menjadi rakan penyiar rasmi termasuk Unifi yang tidak lagi menjadi penyiar rasmi akan menjadi rakan penyiar sahaja untuk musim ini.

‘The more the merrier’! Itulah yang boleh diperkatakan jika Astro, RTM dan Unifi akan menyiarkan perlawanan liga sepanjang musim ini, tapi persoalan utama ketika ini adalah bagaimana dengan pembahagian perlawanan di antara ketiga-tiga saluran ini?

Pada musim lalu, kesemua perlawanan disiarkan secara langsung di saluran YouTube Unifi sekaligus memberi peluang kepada peminat untuk menonton perlawanan pilihan di mana-mana sahaja.

Selain di saluran YouTube, perlawanan juga disiarkan di saluran rasmi Unifi TV termasuk beberapa perlawanan pilihan disiarkan secara langsung di RTM.

Jika ketiga-tiga saluran ini akan menyiarkan perlawanan liga ia merupakan satu berita yang cukup baik, tetapi satu lagi persoalan akan timbul iaitu bagaimana pula dengan pembahagian perlawanan nanti?

Sekiranya Astro menjadi penyiar rasmi, sudah semestinya mereka akan menyiarkan perlawanan-perlawanan pilihan membabitkan pasukan gergasi seperti JDT, Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC.

Tetapi adakah perlawanan ini akan disiarkan di Astro secara eksklusif sahaja atau rakan penyiar seperti RTM dan Unifi juga akan menyiarkan perlawanan tersebut.

Melihat pada sudut perniagaan, sudah pastinya perlawanan yang disiarkan di Astro tidak akan disiarkan di saluran lain kerana mereka telah melabur besar untuk jadi penyiar rasmi.

Sekiranya perkara ini berlaku ia pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat kerana tidak semua peminat mempunyai saluran Astro, tambahan pula ketika ini semakin ramai yang tidak lagi melanggan stesen televisyen berbayar itu, jadi pastinya jumlah tontonan akan merudum jika majoriti peminat tidak mendapat akses untuk perlawanan itu.

Bagaimanapun jika RTM yang menjadi penyiar rasmi, ia pastinya masalah itu tidak akan timbul kerana seluruh rakyat Malaysia mempunyai akses saluran televisyen itu kerana ianya percuma.

Oleh itu, perlawanan tumpuan pastinya akan mendapat jumlah tontonan yang tinggi kerana menarik perhatian peminat

Peminat bukan sahaja boleh menonton perlawanan di televisyen, mereka juga boleh menontonnya dalam talian berikutan RTM juga mempunyai saluran penstriman iaitu RTMKlik.

Dalam pada itu, memandangkan Unifi bukan lagi menjadi penyiar rasmi bermakna mereka tiada masalah untuk menyiarkan mana-mana perlawanan kerana tidak perlu membuat sebarang penambahan kerana sudah mempunyai saluran sukan sendiri.

Mereka juga boleh menggunakan platform YouTube untuk menyiarkan siaran langsung kepada bukan pelanggan Unifi TV seperti musim lalu, jadi kesemua peminat akan mudah mendapat akses.

Tidak dinafikan majoriti peminat mahu Unifi kekal sebagai penyiar rasmi kerana berpuas hati dengan kualiti penyiaran sepanjang musim lalu, namun memandangkan bola sepak adalah perniagaan sudah pasti pihak MFL akan memilih pihak yang mampu menawarkan bayaran lumayan untuk menjadi penyiar rasmi.

Jadi sama-sama kita tunggu pengumuman penyiar rasmi Liga Malaysia musim ini dari MFL dalam masa terdekat.