Liga Simpanan belum bermula tapi seolah-olah sudah dilupakan

747

Liga Simpanan (Reserve League) atau kini dikenali sebagai Piala MFL dijangka akan menjanjikan persaingan yang sengit apabila 15 pasukan disahkan bakal mengambil bahagian.

Undian Piala MFL baru sahaja berlangsung sebentar tadi dengan menyaksikan sebanyak 15 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.


Kumpulan A terdiri daripada pasukan Skuad Projek FAM-MSN, PDRM FC, Kedah Darul Aman FC B, Penang FC, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Sabah FC dan Kelantan United FC.

Manakala untuk Kumpulan B pula Selangor FC II, Perak FC II, Negeri Sembilan FC, KL City FC, Sri Pahang FC, Kuching City FC dan Kelantan FC.

Piala MFL merupakan salah satu usaha daripada Malaysia Football League (MFL) untuk membangunkan bola sepak tempatan di peringkat akar umbi terutama untuk skuad B-23.

Selain itu, pasukan yang bertanding juga dibenarkan untuk mendapatkan khidmat lima pemain yang melebihi had umur termasuk pemain import tetapi hanya tiga sahaja yang dibenarkan beraksi dalam sesebuah perlawanan.

Ada juga pasukan yang mendapatkan khidmat jurulatih import dan akan menjadikan liga ini lebih sengit dan meriah.

Namun, sehingga ke hari ini pihak MFL masih lagi belum mengumumkan sebarang tarikh sepak mula untuk liga tersebut.

Perkara tersebut telah manjadi persoalan kerana MFL telah mengumumkan waktu sepak mula untuk Liga Super di mana ianya akan bermula seawal 4.30 petang untuk Sabah dan Sarawak dan 5.30 petang untuk semenanjung Malaysia tetapi untuk Piala MFL masih lagi tiada khabar berita.

Ramai yang menjangkakan MFL akan mengumumkan tarikh sepak mula saingan Piala MFL pada majlis undian sebentar tadi, tapi jangkaan itu meleset.

Umum mengetahui yang kebanyakkan hari dan waktu sepak mula telah ‘dikuasai’ oleh pasukan Liga Super jadi, bagaimana pasukan Piala MFL ini ingin mencari waktu dan slot yang sesuai untuk aksi sepak mula mereka.

Bukan itu sahaja, waktu sepak mula ketika bulan Ramadan juga akan turut menimbulkan beberapa masalah kerana waktu sepak mula sememangnya terhad dan akan bermula pada pukul 10.00 malam.

Jadi, pihak MFL harus bijak menangani isu-isu seperti ini kerana ianya melibatkan banyak pasukan.

Dalam pada itu, isu stadium juga akan timbul kerana kebanyakkan pasukan yang bertanding akan berkongsi stadium yang sama.

Isu utama yang akan timbul adalah kualiti padang sekiranya ia digunakan berulang kali dalam tempoh yang singkat kerana sudah pastinya permukaan sudah terjejas dan perlukan masa untuk kembali pulih seperti sedia kala.

Sebagai contoh, jika waktu sepak mula Piala MFL bermula lebih awal iaitu 3.30 petang, tidak mungkin pasukan seterusnya akan bermain pada pukul 5.30 petang kerana permukaan padang akan terjejas dengan teruk dan tidak sempat untuk pulih.

Diharap pihak MFL akan mengumumkan jadual dalam masa terdekat supaya setiap pasukan yang bertanding dapat membuat perancangan rapi.

Jadual dan perancangan Piala MFL harus dibuat dengan teliti kerana objektif utama penganjuran Piala Malaysia ini adalah untuk membangunkan bakat-bakat muda dan mempersiapkan mereka untuk diserap ke skuad utama di Liga Super, pada masa sama untuk pasukan kebangsaan.

Oleh itu, tidak keterlaluan jika hendak mengatakan Piala MFL adalah penting untuk bola sepak negara.