Jangan terlalu ‘obses’ dengan pemain warisan, pemain tempatan tidak kurang hebatnya

1,153

Pemain pertahanan kelahiran Belanda, Dylan Van Wageningen kini menjadi sebutan untuk menjadi pemain warisan yang terbaru untuk mewakili Malaysia.

Van Wageningen mempunyai pertalian darah Malaysia sebelah datuknya dan disebabkan itu beliau boleh mewakili Malaysia sebagai pemain warisan.


Beliau baru sahaja berumur 20 tahun serta beraksi di bahagian pertahanan untuk B-21 Sparta Rotterdam di Jack’s League.

Bersama kelab itu beliau telah beraksi sebanyak 18 kali dan 17 kali beraksi dalam kesebelasan utama.

Disebabkan usianya yang muda, Van Wageningen boleh menjadi prospek yang cerah untuk pasukan kebangsaan.

Namun, peminat bola sepak tempatan tidak seharusnya terlalu ‘obses’ dengan pemain warisan.

Mereka seharusnya beri fokus yang lebih kepada pemain tempatan dan pembangunan akar umbi itu sendiri.

Melahirkan pemain tempatan yang berkualiti jauh lebih penting berbanding mencari pemain warisan yang boleh mewakili negara.

Tidak semua pemain warisan yang beraksi di luar negara itu mempunyai kualiti yang bagus berbanding pemain tempatan.

Ada sahaja pemain tempatan yang mempunyai kualiti lebih bagus seperti Arif Aiman yang kini beraksi untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Arif juga merupakan seorang pemain daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kemudian digilap lagi oleh JDT sehingga menjadi seorang pemain yang lincah.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysai (FAM) juga harus memainkan peranan dengan memberi keutamaan kepada pemain tempatan dahulu sebelum mencari pemain warisan.

Mereka seharusnya membangunkan lagi program akar umbi agar dapat melahirkan ramai lagi pemain-pemain tempatan yang berbakat.

Harus diingat yang pemain tempatan bukan alternatif kepada pemain warisan tetapi sebaliknya.

Diharap semua pihak akan berganding bahu untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain tempatan yang berkualiti.