Nasib pemain Melaka United FC umpama seperti ‘menunggu kucing bertanduk’

252

Umum mengetahui dengan permasalahan pasukan Melaka United FC dan Sarawak United FC yang berdepan isu tunggakan gaji berjumlah jutaan ringgit.

Jumlah tunggakan gaji pemain telah mencecah RM2.3 juta untuk Melaka United dan RM400,000 untuk Sarawak United dan ia merupakan satu jumlah yang sangat besar.


Namun, Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais menyatakan yang pihak mereka tidak akan melepaskan tangan dan akan membayar segala tunggakan gaji itu secara berperingkat yang dijangka akan selesai pada Mac ini.

Ia seperti memberi nafas baru buat pemain Sarawak United apabila gaji mereka bakal di bayar oleh kelab.

Tetapi senario berbeza pula menimpa buat pemain Melaka United di mana mereka dibiarkan seperti ‘menunggu kucing bertanduk’ di mana gaji mereka tidak dibayar sehingga ke hari ini.

Semua pihak yang terlibat juga berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan serta membuat tindakan susulan untuk menyelesaikan masalah gaji ini.

Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) juga berdiam diri dan setakat ini tiada tindakan daripada pihak mereka, seolah-olah seperti mahu lepas tangan.

Apa yang mengejutkan adalah penubuhan kelab baru iaitu Melaka FC yang kini di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Amatur Melaka (MAFA) dibenarkan menyertai Liga M3.

Walaupun mereka menafikan yang kedua-dua kelab ini tidak mempunyai kaitan tetapi pihak berwajib seharusnya menyelesaikan dahulu isu tunggakan gaji pemain kerana tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’.

Jika masalah gaji pemain lama tidak selesai, tidak mustahil di masa hadapan masalah ini boleh timbul di kelab Melaka yang baru.

Diharap isu gaji yang membelenggu pemain Melaka United ini akan diselesaikan oleh pihak yang terlibat kerana bekas-bekas pemain ini mempunyai keluarga yang perlu disara selain perlu membayar komitmen bulanan masing-masing.