Sepak mula pada waktu petang mampu ‘bunuh’ kemeriahan Liga Malaysia, jejaskan prestasi pemain dan jumlah tontonan

1,024

Baru-baru ini pihak Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan yang waktu sepak mula saingan Liga Super akan bermula seawal pukul 4.30 petang bagi Sabah dan Sarawak dan pukul 5.30 petang bagi semenanjung Malaysia dan pengumuman itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada ramai pihak.

Ketua Unit Prestasi Tinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Reuben Jude Balraj turut tampil memberi pendapat beliau mengenai perubahan baru yang dilaksanakan oleh MFL ini.


Reuben berpendapat yang aksi di sebelah petang tidak akan menjejaskan kemampuan dan kecergasan pemain untuk menampilkan aksi konsisten dalam perlawanan.

Beliau turut menyatakan yang pemain harus menjaga pemakanan mereka dan kekal hidrat agar mereka mampu beraksi dengan baik di sebelah petang.

Namun, kenyataan itu boleh dipersoalkan kerana agak sukar untuk pemain kekal hidrat serta mempamerkan aksi yang baik sepanjang 90 minit di atas padang kerana cuaca agak panas dan tidak masuk akal.

Prestasi pemain juga boleh terjejas kerana faktor cuaca mampu mempengaruhi tahap permainan pemain itu.

Terdahulu, dua pemain Kelantan FC iaitu Syed Sobri dan Yusri Yuhasmadi juga pernah menyatakan pada tahun 2022 yang bermain di waktu petang serba sedikit memberi kesan dan menjejaskan tahap permainan meraka.

Syed Sobri turut menyatakan yang pemain sukar untuk menyesuaikan diri untuk bermain di bawah panas terik.

Jadi, pihak yang berwajib harus menyediakan langkah berjaga-jaga di mana mereka perlu sentiasa memastikan tahap kesihatan serta keselamatan atlet terjaga ketika beraksi.

Contohnya, mereka boleh mengamalkan ‘water break’ seperti sebelum ini di mana pemain akan berhenti rehat untuk minum air pada minit ke-30 separuh masa pertama dan minit ke-70 separuh masa kedua, dan ia untuk mengelak berlakunya dehidrasi kepada pemain.

Selain itu, mereka juga harus menyediakan pasukan perubatan serta kemudahan yang lain ketika beraksi di sebelah petang sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.

Walapun perlawanan di sebelah petang berlangsung pada Sabtu dan Ahad namun, tidak semua orang cuti pada waktu itu dan ada juga yang bekerja pada hari tersebut.

Jadi, jumlah penonton yang hadir ke stadium dan penonton yang menonton secara langsung menerusi televisyen juga mungkin berkurangan akibat kekangan waktu.

Hal itu akan menyebabkan penjualan tiket akan turut berkurangan secara tidak langsung dan turut menjejaskan pendapatan kelab.

Bukan itu sahaja, rating juga akan berkurangan kerana jumlah penonton turut akan berkurang.