Dari kelab amatur kepada wakil negara, Akil Akashah contoh pembangunan akar umbi yang baik oleh Kerteh FC

848

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengeluarkan senarai 40 pemain Bawah-17 untuk menyertai kem latihan pusat Fasa 1 menjelang Piala Asia B-17 tahun yang akan diadakan di Thailand dari 15 Jun hingga 2 Julai 2023.

Namun apa yang menarik perhatian di kalangan peminat bola sepak adalah pemain yang berasal dari Terengganu yang bernama Akil Akashah Nazmi. Tetapi siapakah beliau dan kenapa nama beliau menjadi sebutan di bibir peminat Terengganu?


Nama penuh beliau adalah Muhammad Akil Akashah Muhammad Nazmi yang bermain di posisi penjaga gol.

 Beliau merupakan produk yang dihasilkan oleh skuad Kerteh FC, salah sebuah pasukan bola sepak semi-profesional yang bermain di Liga M4.

Mempunyai ketinggian 180cm menjadikan Akil seorang pemain yang sesuai untuk menjadi benteng pertahanan terakhir sesebuah pasukan.

Beliau juga diberi tanggungjawab untuk memakai lilitan kapten dan menjadi kapten pasukan B-16 untuk pasukan muda Kerteh.

Pada 19 Januari 2023, beliau terpilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga bola sepak Terengganu dengan menandatangani kontrak bersama Terengganu FC IV dan akan menjadi salah seorang pemain muda untuk Skuad Belia Terengganu pada musim 2023.

 Difahamkan beliau merupakan pemain pertama yang berjaya mengikat kontrak bersama pasukan Terengganu yang datangnya daripada kelab Kerteh.

Ini membuktikan bahawa setiap pemain boleh mewakili ke peringkat tertinggi bola sepak seperti bermain untuk pasukan profesional atau mewakili pasukan kebangsaan walaupun bermula dari peringkat bawah.

Akil Akashah juga wajar dijadikan sebagai ‘role model’ untuk pemain-pemain muda yang ingin menjadikan bola sepak sebagai karier pada masa hadapan.

Selain itu, Kerteh perlu diberi penghargaan selepas berjaya melahirkan ubi muda yang berkualiti dan berpotensi untuk menjadi salah seorang pemain berbakat pada masa hadapan.

Kelab-kelab amatur juga boleh mempelajari bagaimana Kerteh mampu menjana pendapatan di samping melahirkan pemain muda yang mampu diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi seperti Akil Akashah.

 Malah, semangat yang ditonjolkan oleh Akil Akashah wajar diberi pujian selepas menempatkan diri  dalam skuad kebangsaan walaupun beliau bermula daripada kelab amatur di Terengganu.

Selamat maju jaya dan teruskan berusaha untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.