Bawa pengalaman di JDT ke EPL, Haydee Agras direkrut Brentford FC, pemain ‘terhutang budi’ dengan jasa beliau

1,148

Haydee Agras bukanlah nama yang asing dalam arena bola sepak tempatan di mana beliau pernah berkhidmat dengan pasukan gergasi Selatan Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baru-baru ini, Haydee telah mengumumkan yang dirinya kini telah menyertai staf kejurulatihan kelab yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Brentford FC sebagai analisis.


Beliau mengumumkan perkara itu melalui sebuah posting di laman sosial miliknya.

 Haydee merupakan pakar analisis untuk JDT selama tiga tahun daripada tahun 2019 sehingga 2022.

Beliau meninggalkan JDT selepas bekas jurulatih kelab itu, Benjamin Mora turut meninggalkan kelab itu pada tahun yang sama.

Haydee merupakan antara tunjang utama kejayaan JDT di mana ketika berkhidmat di sana beliau telah menyediakan sekurang-kurangnya 300 laporan lengkap perlawanan setiap tahun.

Pencapaian Haydee bersama JDT sememangnya amat memberangsangkan apabila beliau berjaya membantu JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super, membantu memenangi Piala Malaysia sebanyak dua kali iaitu 2019 dan 2022, memenangi  Piala FA pada tahun 2022 dan memenangi Piala Sumbangsih sebanyak empat kali berturut-turut daripada tahun 2019, 2020,2021 dan 2022.

Bukan itu sahaja, beliau juga berjaya membantu JDT untuk mara ke pusingan ke-16 terakhir dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di mana mereka tewas kepada kelab Jepun iaitu Urawa Reds Diamond FC 5-0.

Dalam pada itu, Haydee juga mempunyai hubungan rapat dengan pemain JDT di mana terdapat beberapa pemain telah memberi ucapan “selamat maju jaya” kepadanya sejurus beliau mengumumkan yang dirinya akan menyertai Brentford.

Antara pemain yang memberi ucapan “selamat maju jaya” kepada beliau ialah penyerang import berbisa kelab itu iaitu Bergson da Silva dan Daniel Amier.

Haydee turut membalas ucapan tersebut dengan mengucap “terima kasih”.

Tidak hairanlah mereka memberi ucapan kepada beliau kerana mereka ibarat terhutang budi kepadanya kerana dapat meningkatkan tahap permainan mereka ke tahap yang lebih baik.

Terutama sekali Bergson, apabila beliau berjaya membantunya untuk mencetak 29 gol dalam saingan Liga Super dan telah tersenarai dalam lima penjaring terbanyak dunia pada 2022.

Ternyata, Haydee sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan pemain JDT meskipun beliau telah meninggalkan kelab itu pada tahun lalu.

Apa-apa pun selamat maju jaya buat Haydee di kelab barunya.