Dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA, kredibiliti Hamidin terbukti, bawa harapan Malaysia ke peringkat dunia
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berjaya dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada Kongres AFC ke-33 di Manama, Bahrain sebentar tadi.
Beliau menerima 30 undi, sekaligus terpilih dalam kalangan lima Ahli Majlis tersebut bagi penggal 2023 hingga 2027.
Beliau terpilih bersama empat lagi calon lain iaitu Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima; Presiden Persatuan Bola Sepak Filipina, Mariano Araneta, Jr; Presiden Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al-Thani dan Presiden Persatuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser H. Almisehal.
Ini merupakan satu kejayaan besar bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
Walaupun berdepan dengan nama-nama yang cukup besar dan berpengalaman dalam bola sepak Asia, Hamidin berjaya menjawat jawatan yang penting itu.
Ini membuktikan bahawa kredibiliti yang dimiliki oleh Hamidin dalam membangunkan bola sepak negara serta kerja kerasnya untuk bola sepak di Asia, khususnya Asia Tenggara, membuahkan hasil dan dilihat oleh wakil negara-negara lain.
Pemilihan Hamidin memegang jawatan tersebut meneruskan kesinambungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang pernah menjawat jawatan itu pada 2015 hingga 2019.
Hamidin pastinya menjadi harapan seluruh peminat bola sepak tempatan dan juga Asia Tenggara untuk membawa suara Malaysia serta rantau ini di AFC serta FIFA.
Presiden FAM ketujuh itu harus membuktikan kredibiliti beliau dalam memimpin FAM mampu diteruskan dengan lebih baik ketika memegang amanat baharu ini.
Kejayaan ini semestinya satu kesinambungan buat tahun gemilang bola sepak Malaysia pada 2022 yang berjaya mempamerkan kebangkitan menakjubkan di bawah kepimpinan beliau.
Terdahhulu, beliau telah dipilih menjadi salah seorang Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bagi penggal 2022-2026 pada Kongres Biasa AFF kali ke-29 yang telah diadakan di Siem Reap, Kemboja.
Amanah-amanah yang baru diraih oleh beliau ini diharapkan bakal menjadi pencetus kepada lebih banyak kejayaan untuk Malaysia pada masa akan datang.
Selamat maju jaya diucapkan kepada beliau dan semoga dapat menjalankan tugas dengan jujur dan amanah, syabas Datuk!