Kami sasar Penang FC untuk berada dalam Top 6 musim ini – Soon Lip Chee
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Penang FC, YB Soon Lip Chee meletakkan sasaran Top 6 untuk pasukan Penang dalam saingan Liga Super musim ini.
Menurut Lip Chee, sasaran yang diletakkan untuk skuad Harimau Kumbang pada musim ini adalah realistik memandangkan musim lalu mereka mengharungi musim yang cukup hambar.
“Memang sasaran kita selama ini yang telah ditetapkan oleh Ketua Menteri adalah Top 6 dan untuk musim ini kita akan kekalkan sasaran itu.
Kita tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana kita percaya jika kita letak sasaran tinggi ia akan membuatkan pasukan lebih tertekan sekaligus tidak akan mempamerkan aksi terbaik,”
katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran jersi terbaru Penang FC untuk musim 2023.
Tambahnya lagi, sasaran yang diletakkan itu sangat realistik kerana Penang pada musim ini dibarisi oleh ramai pemain baru oleh itu mereka perlukan masa untuk menjadi sebuah skuad yang mantap.
Beliau bagaimanapun berkata sekiranya semuanya berjalan dengan lancar, Penang tidak akan berdepan masalah untuk mencapai sasaran tersebut.
Dalam pada itu, Lip Chee juga berkata sekiranya anak buah Manzoor Azwira mampu menghabiskan saingan Liga Super dalam kedudukan kelima keatas ia merupakan satu bonus buat mereka.
“Kita telah melalui proses yang lama untuk memilih barisan pemain terbaik untuk menyarung jersi Penang dan dengan semangat Harimau Kumbang dan Haria Penang Haria ini saya percaya peminat pastinya tidak mahu melihat keputusan merosot.”
Sementara itu, beliau turut meluahkan rasa terujanya apabila jenama sukan tempatan Kaki Jersi (KJ) dipilih untuk menjadi penaja pasukan itu selama dua musim bermula 2023 hingga 2024.
“Apa yang menarik dengan kolaborasi dengan KJ ini adalah mereka bukan sahaja mempunyai jersi untuk peminat dewasa sahaja, tetapi juga untuk kanak-kanak iaitu dari saiz 3XS hingga 10XL.”
Pelancaran jersi Penang dilakukan bersempena dengan kejohanan Piala Harapan yang membuka tirainya pada malam tadi yang mana ia turut disertai pasukan Kedah Darul Aman FC, Selangor FC dan Geylang International FC (Singapura).
Kejohanan empat penjuru itu akan berlangsung dari 1 hingga 4 Februari ini adalah salah satu latihan pra-musim Penang bagi mempersiap pasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.
Selain Piala Harapan, Penang juga dikatakan akan menganjurkan satu lagi kejohanan yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.