Penang FC sudah ada perancangan untuk pastikan situasi musim 2022 tak berulang – Manzoor Azwira

270

Saingan Liga Super bakal membuka tirainya tidak lama lagi dan pasukan-pasukan yang bertanding kini sedang rancak membuat persiapan termasuk Penang FC yang mengadakan perlawanan pra-musim dengan menganjurkan kejohanan Piala Harapan.

Untuk musim 2023, skuad Penang akan dibarisi oleh gabungan pemain muda dan berpengalaman untuk membentuk skuad yang ampuh dibawah kendalian pemangku ketua jurulatih Manzoor Azwira.


Menurut Manzoor, beliau dan pihak pengurusan sudah mempunyai perancangan jangka masa panjang bagi memastikan situasi yang berlaku pada musim 2022 tidak berulang lagi.

“Untuk kontrak pemain kita sudah ada perancangan jangka masa panjang. Pada 2021 kita berjaya berada pada kedudukan Top 3, kemudian pada tahun 2022 ramai pemain keluar sekaligus menyebabkan prestasi kita merosot dan jatuh ke bawah liga.

Situasi itu tidak berbeza dengan musim ini tapi kita akan cuba atasi dan pastikan perkara yang berlaku pada 2022 tidak berulang lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kejohanan Piala Harapan yang membuka tirai pada malam tadi menyaksikan Penang berjaya menewaskan Geylang International FC (Singapura) 4-0 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan.

Skuad Harimau Kumbang kini berada di landasan tepat apabila mereka masih belum tewas dalam beberapa perlawanan pra-musim.

Disebalik prestasi yang memberangsangkan yang dipamerkan oleh anak buahnya, Manzoor masih belum berpuas hati berikutan terdapat banyak perkara lagi yang perlu diperbaiki dengan segera sebelum sepak mula Liga Super bermula.

“Kita dapat lihat pada perlawanan malam tadi corak permainan kita tidak konsisten walaupun kita menang 4-0, jadi itu adalah satu cabaran yang perlu kita atasi segera.

Setiap bahagian kita perlu perbaiki kerana lima perlawanan awal liga kita akan bertemu dengan Top 6 Liga Super musim lalu kecuali Kelantan FC sahaja. Jadi sekarang ini kita perlu pastikan corak permainan dan kombinasi pemain lebih baik untuk bertemu dengan pasukan-pasukan hebat nanti.”

Dalam pada itu, pengendali berusia 46 tahun itu meletak sasaran untuk skuadnya berada pada kedudukan Top 10 liga untuk musim ini.

Ini kerana menurut Manzoor, sasaran Top 10 yang diletakkannya adalah realistik berdasarkan keadaan semasa skuad.

“Saya lebih realistik. Dengan kehadiran ramai pemain baru saya sasar Top 10. Kalau dapat kurang pada itu ia dikira sebagai bonus.”

Jelasnya lagi, beliau enggan memberi harapan yang boleh membuatkan orang memberi tekanan kepada pasukan.

Pada masa beliau juga meminta agar penyokong Penang trust the process kerana untuk membina skuad yang mantap perlukan masa.