Soony Saad akui ‘level’ Liga Malaysia hampir sama dengan Thai League 1

677

Pernah beraksi bersama kelab di Thailand, pemain import baru Penang FC, Soony Saad mengakui bahawa kualiti Liga Malaysia hampir sama Thai League 1.

Menurut Soony, walaupun beliau masih baru dalam bola sepak Malaysia, namun selepas mengharungi beberapa perlawanan pra-musim beliau mengakui persamaan dari segi kualiti antara kedua-dua liga ini.


“Saya rasa hampir sama. Kita tahu pasukan kebangsaan Thailand sememangnya kuat apabila mereka baru sahaja berjaya julang Piala AFF baru-baru ini adalah bukti bola sepak mereka bagus.

Di sini saya masih baru dan hanya mempunyai pengalaman bersama Penang. Saya rasa level bola sepak Malaysia hampir sama dengan Thailand, jadi saya tak sabar nak menanti apa yang Liga Malaysia akan tawarkan pada saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk rekod, Soony pernah bermain untuk beberapa kelab di liga Thailand termasuk PT Prachuap dan Police Tero FC.

Soony antara tonggak utama yang diturunkan pada perlawanan pertama kejohanan Piala Harapan malam tadi yang menyaksikan Penang berjaya benam pasukan dari Singapura iaitu Geylang International FC 4-0.

Dalam pada itu, walaupun pasukannya berjaya menang bergaya, namun beliau masih lagi tidak berpuas hati dengan permainannya apabila gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai deretan peluang.

“Secara peribadi saya perlu menjaringkan gol kerana pada perlawanan malam ini (Rabu) saya gagal untuk menjaringkan gol walaupun mempunyai deretan peluang. Nasib baik rakan sepasukan dapat menjaringkan empat gol.

Itu yang berlaku pada pra-musim, tapi saya lebih rela gagal menjaringkan gol pada pra-musim dari gagal menjaringkan gol pada perlawanan liga sebenar nanti.”

Beliau juga mengakui masih belum dapat mendapat keserasian penuh dengan rakan sepasukan, namun ia perkara itu tampak semakin baik dari hari ke hari dan yakin mereka akan siap sedia menjelang sepak mula Liga Super nanti.

Sementara itu, Soony juga memberitahu beliau sudah bersedia untuk menerima segala kritikan atau kecaman sekiranya tidak mampu mempamerkan prestasi terbaik seperti yang diharapkan oleh peminat.

Beliau juga menyuarakan keyakinannya terhadap rakan sepasukan dan percaya mereka mampu mengharungi musim yang baik kali ini melihat kepada komitmen tinggi yang diberikan oleh setiap pemain.