Jangan sembunyikan nilai, MFL perlu telus mengenai wang hak penyiaran yang diterima semua kelab

501

Malaysian Football League (MFL) secara rasmi mengumumkan Astro dan RTM sebagai rakan penyiar rasmi Liga Malaysia musim 2023 semalam, ‘bertukar tangan’ daripada Unifi.

Keputusan itu mendapat pelbagai reaksi daripada para peminat bola sepak tempatan, dengan ada yang menganggap ia satu perkara yang positif manakala ada yang merasakan ia satu langkah ke belakang.


Ada juga yang mempersoalkan mengenai berapakah jumlah wang hak penyiaran yang akan dibayar kepada kelab-kelab yang bertanding pada musim ini.

Untuk rekod, pada musim lalu dana hak penyiaran yang diperuntukkan oleh semua kelab Liga Perdana dan Liga Super adalah sebanyak RM12 juta, dengan pasukan Liga Super diberi RM500,000 manakala Liga Perdana pula sebanyak RM250,000.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, dana yang diperuntukkan musim ini adalah melebihi RM12 juta memandangkan peningkatan jumlah tajaan yang diterima pihaknya.

Ini bermakna, jumlah tersebut akan dibahagikan kepada semua kelab yang bertanding musim ini sebagai wang hak penyiaran.

Namun, apa yang menjadi pertikaian adalah beliau tidak mahu mendedahkan secara terperinci jumlah yang bakal diagih kepada setiap pasukan.

Sebagai sebuah liga bola sepak profesional, perkara sebegini haruslah diberitahu secara telus dan terbuka supaya boleh menjadi rujukan orang ramai terutamanya peminat.

Sudah beberapa musim Liga Malaysia dihantui oleh masalah kewangan pasukan-pasukan yang bertanding, dan salah satu puncanya adalah sikap yang tidak telus oleh pihak pengurusan kelab mengenai dana kelab.

Justeru, sebagai badan pengelola Liga Malaysia, MFL haruslah menjadi contoh kepada pasukan-pasukan yang bertanding.

Ini juga bagi memastikan setiap kelab dibayar secara adil daripada dana hak penyiaran tersebut, dan tidak hanya dimonopoli oleh pasukan besar.

Jika tidak, ia akan menyukarkan kelab-kelab kecil untuk bertahan memandangkan kos untuk mempersiapkan pasukan bukanlah mudah, kerana setiap kelab juga harus menyediakan pasukan Liga Simpanan, Piala Presiden dan Piala Belia.

Sekiranya, wang hak penyiaran yang akan diberikan diberitahu dengan lebih awal dan telus, setiap kelab lebih mudah untuk mengukur bajet sendiri dalam menghadapi saingan liga.

Dengan pertambahan pasukan dan lebih banyak kejohanan yang dipertandingkan pada musim ini, kos operasi setiap pasukan juga pastinya akan bertambah.

Secara kasarnya, setiap pasukan memerlukan sekurang-kurangnya hampir 15 juta semusim untuk menghadapi saingan Liga Malaysia, dan itu hanyalah perbelanjaan pasukan kecil dengan pemain yang kurang ternama.