Sertai kelab Belgium, peminat Indonesia risau Marselino Ferdinand hanya jadi ‘alat’ tambah ‘followers’ seperti Pratama Arhan

359

Pemain tengah berbakat Indonesia, Marselino Ferdinand sah menyertai kelab divisyen dua liga Belgium iaitu KMSK Deinze FC dan kelab itu juga telah mengumumkan ketibaan beliau menerusi sebuah posting di laman sosial mereka.

Marselino dikhabar akan telah menandatangani kontrak selama satu tahun setengah untuk musim 2023/2024 dan turut mempunyai pilihan lanjutan kontrak.


Perpindahan ini merupakan satu tindakan yang berani untuk pemain berusia 18 tahun ini mengembangkan bakatnya ke benua Eropah.

Sebelum berhijrah ke Belgium, Marselino telah beraksi bersama kelab Indonesia iaitu Persebaya Surabaya dalam aski Liga 1 Indonesia.

Bersama kelab itu, beliau telah beraksi tujuh perlawanan di mana enam daripadanya berada dalam kesebelasan utama dan beliau juga telah berjaya mencetak tiga gol dan dua bantuan jaringan.

Pengarah Bola Sepak KMSK Deinze, Adrian Esparraga menjelaskan yang perpindahan Marselino ke sana adalah kerana corak permainan beliau amat sesuai dengan kelab itu.

Adrian turut berkata, kelab itu sememangnya sudah lama memerhatikan aksi Marselino dan beliau juga ada terbang ke Indonesia untuk melihat aksinya dengan lebih dekat.

Tambahnya, mereka akan memberi masa untuk Marselino menyesuaikan diri dan mereka yakin Marselino akan tampil dengan persembahan yang baik.

Walaupun teruja, namun terdapat segelintir peminat bola sepak Indonesia meluahkan kerisauan mereka kerana mereka takut perpindahan Marselino ke KMSK Deinze hanya untuk menambah jumlah pengikut sahaja.

Mereka tidak mahu melihat perkara yang sama terjadi ketika Pratama Arhan menyertai Tokyo Verdy FC turut terjadi pada beliau kerana mereka tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’.

Terdahulu, Pratama menyertai Tokyo Verdy pada tahun 2022 dan perpindahan beliau ke kelab itu telah menyaksikan jumlah pengikut laman sosial Instagram kelab itu bertambah daripada 295,000 pengikut sehingga 451,000 pengikut pada hari ini.

Sebelum Marselino sertai KMSK Deinze, mereka hanya mempunyai 10 ribu pengikut sahaja di laman sosial Instagram dan kini mereka mempunyai 71 ribu pengikut.

Untuk rekod, Pratama hanya berjaya membuat satu sahaja penampilan bersama kelab iaitu ketika aksi J2 League dan hanya beraksi selama 45 minit sahaja.

Mereka tidak ingin melihat bakat yang ada pada Marselino dibiarkan begitu sahaja tanpa mendapat minit permainan yang cukup untuk kelab.

Jadi perkara ini sedikit merisaukan peminat bola sepak Indonesia kerana meraka takut bakat Marselino disia-siakan.

Namun, mereka tetap berharap yang Marselino akan beri yang terbaik sepanjang tempohnya bersama kelab itu dan mereka turut memberi kata-kata semangat kepada beliau.

Sebenarnya, taktik untuk menaikkan pengikut media sosial oleh kelab-kelab bola sepak di seluruh dunia memang banyak berlaku.

Contohnya, segelinitr kelab di Eropah telah membawa masuk pemain Asia menyertai pasukan sebagai langkah pemasaran untuk mereka di rantau itu.

Diharap Marselino dapat diberi minit permainan yang secukupnya oleh KMSK Deinze dan sekaligus dapat mengembangkan lagi bakatnya.