Data peribadi penyokong mudah ‘leak’ di TFC Direct, buat ‘online store’ betul-betul, jangan sekadar tangkap muat

304

Pada zaman moden ini, kebanyakan kelab bola sepak memilih untuk menjual cenderahati secara dalam talian di samping secara fizikal bagi memudahkan peminat untuk membeli barangan pasukan kegemaran mereka.

Tetapi, risiko dan ancaman seperti serangan siber dan kebocoran maklumat akan menjadi topik yang sentiasa dibincangkan sekiranya tidak dibendung secara serius.


Baru-baru ini, tular di laman Facebook iaitu OMG Hackers mendedahkan mengenai kelemahan keselamatan siber laman web yang menjual barang cenderahati Terengganu FC, iaitu TFC Direct Official Store.

Menurut hantaran OMG Hackers, mereka hanya perlu mengakses tanpa perlu menggodam sistem laman web untuk mendapatkan data peribadi pengguna yang disimpan di dalam laman web sahaja.

Ini menimbulkan kemarahan orang ramai terutama peminat-peminat yang sudah mendaftar dan membeli barangan di laman web tersebut kerana risau data mereka telah tersebar kepada umum dan berisiko digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai sebuah pasukan profesional yang bermain di Liga Super, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ianya mampu membunuh kepercayaan peminat bola sepak serta kurangnya sokongan peminat untuk pasukan kesayangan mereka.

Bukan itu sahaja, peminat juga akan berfikir untuk tidak lagi membeli barangan cenderahati secara dalam talian kerana isu kebocoran data dan privasi pengguna serta menjadikan keuntungan semakin merosot.

Ini seolah-olah memandang mudah mengenai perlindungan data peribadi pelanggan dan melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Walaupun Terengganu telah membuat kenyataan berkenaan kebocoran data dan privasi serta memohon maaf, namun ‘nasi sudah jadi bubur’ kerana data pelanggan telah pun tersebar.

Sebelum ini, Terengganu dikecam hebat oleh penyokong sendiri kerana masalah yang dihadapi ketika menggunakan aplikasi TFC Play.

Ini kerana aplikasi TFC Play mempunyai masalah teknikal walaupun penyokong sudah melakukan pembayaran untuk melihat perlawanan Kelantan United menentang Terengganu.

Terengganu juga perlu memastikan bahawa perkara ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan kerana setiap aplikasi atau laman web yang digunakan harus berada dalam keadaan yang terbaik dan dijaga rapi oleh pihak yang berkenaan agar masalah yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Usaha dalam penggunaan menggunakan platform digital seperti aplikasi dan laman web menunjukkan tanda positif namun secara tidak langsung ianya mampu memberi kesan buruk kepada pengguna sekiranya tidak dilaksanakan dengan baik.

Penggunaan laman web atau aplikasi merupakan salah satu cara untuk mendekatkan peminat bersama kelab bola sepak, namun jangan sampai mereka menggangap setiap aplikasi dan laman web hanya sekadar ‘tangkap muat’ dan tidak memberi manfaat kepada penyokong bola sepak sejati.