Jawatan Ahli Majlis FIFA hanya permulaan, Hamidin mampu langkah lebih tinggi dalam AFC, bawa bola sepak ASEAN lebih jauh

163

Negara Asia Barat terus mendominasi bola sepak Asia apabila Arab Saudi diumum secara rasmi akan menjadi tuan rumah untuk Piala Asia 2027.

Ini merupakan edisi ketiga negara dari Asia Barat berjaya menjadi tuan rumah kerana edisi sebelum ini diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.


Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga ramai diwakili oleh negara Asia Barat dan ia dapat memberi kelebihan untuk negara seperti Arab Saudi, Qatar dan UAE untuk menjadi tuan rumah.

Mereka juga mempunyai pengaruh yang besar dalam AFC.

Namun kini, negara dari rantau Asia Tenggara (ASEAN) juga sudah mempunyai wakil yang berjawatan tinggi di AFC.

Antara nama yang mempunyai jawatan yang tinggi di AFC kini ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, Zaw Zaw (Myanmar) dan Mariano Araneta, Jr (Filipina).

Hamidin telah memegang sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Zaw Zaw pula ialah Naib Presiden Kanan Jawatankuasa Eksekutif AFC dan jawatan bagi Mariano ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Asia AFC.

Mereka semua baru sahaja dilantik pada Kongres AFC ke-33 di Manama, Bahrain dan akan memegang jawatan itu sehingga 2027.

Dengan pelantikan mereka bertiga, negara ASEAN sudah pasti akan mendapat kelebihan kerana mempunyai tiga wakil yang mempunai jawatan yang tinggi.

Dalam pada itu, Hamidin harus melakukan kerja yang bagus sepanjang tempoh beliau dilantik agar beliau boleh mencuba untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi iaitu Naib Presiden AFC pada Kongres AFC akan datang iaitu pada tahun 2027.

Jika beliau berjaya melakukan kerja dengan baik, tidak mustahil beliau boleh memenangi jawatan Naib Presiden AFC itu.

Mungkin satu hari nanti selepas berjaya menjadi Naib Presiden AFC Hamidin boleh menjadi Presiden AFC pula seperti kata pepatah “tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu”.

Perkara tersebut tidak mustahil kerana sebelum ini Malaysia pernah mempunyai tiga figura yang pernah menjawat jawatan itu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tan Sri Hamzah dan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Jikalau Hamidin berjaya memenangi jawatan itu, ia sudah pasti akan banyak membawa kelebihan untuk bola sepak ASEAN dan Malaysia.

Beliau juga boleh menjadikan negara ASEAN sebagai tuan rumah untuk Piala Asia kerana kali terakhir rantau ini menjadi tuan rumah ialah pada tahun 2007.

Ketika itu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam telah dipilih menjadi tuan rumah.