Jalin kolaborasi dengan Sharjah FC, kelab Malaysia wajar contohi inisiatif JDT ketika lakukan latihan pramusim di luar negara

422

Umum mengetahui yang kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sedang menjalani latihan pramusim mereka di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk membuat persiapan bagi menghadapi musim baru Liga Super yang akan membuka tirainya pada 24 Februari.

Dalam pada melakukan latihan pramusim di sana, JDT turut mengambil kesempatan dengan mengadakan kolaborasi dengan kelab gergasi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sharjah FC.


Kolaborasi itu terjalin selepas pemilik JDT, iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah melakukan kunjungan ke fasiliti latihan Sharjah FC.

Hasil daripada kunjungan itu, JDT telah ditawarkan untuk menggunakan fasiliti latihan kelab itu secara percuma.

Perkara itu merupakan satu tindakan yang amat bijak dilakukan oleh JDT kerana ia boleh membuka laluan kepada kelab-kelab yang lain untuk berbuat sedemikian ketika latihan pramusim mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa kelab Liga Super yang turut mengadakan latihan pramusim di luar negara iaitu Kedah Darul Aman FC, Selangor FC, Sri Pahang FC, Sabah FC dan Terengganu FC.

Kedah dijangka akan membuat latihan pramusim mereka di Turki manakala Selangor, Pahang, Sabah dan Terengganu memilih Thailand sebagai lokasi mereka.

Kelab-kelab tersebut berkemungkinan boleh melakukan perkara yang sama seperti JDT lakukan iaitu menjalinkan kolaborasi dengan kelab tempatan di negara yang mereka sedang lakukan latihan pramusim itu.

Kolaborasi itu akan dapat memberi kelebihan buat kelab mereka iaitu dari segi pemasaran kerana mereka boleh menambah jumlah ‘followers’ terutama Kedah yang melakukan latihan pramusim mereka di Turki.

Bukan itu sahaja, para pemain juga akan mendapat kelebihan apabila mereka juga dapat meningkatkan tahap kualiti permainan mereka.

Pembangunan bola sepak Malaysia juga akan terus membangun dan dapat memberi kelebihan untuk skuad kebangsaan Malaysia.

Diharap pada masa akan datang akan ada lebih banyak kelab Liga Super yang mampu jalin kolaborasi seperti apa yang JDT buat.