Tan Cheng Hoe akui tahap kecergasan setiap pemainnya masih belum capai pada tahap yang dikehendakinya

712

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui tahap kecergasan pemain-pemainnya masih lagi belum mencapai pada tahap yang dikehendakinya walaupun mereka berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Harapan selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC dalam penentuan sepakan penalti malam tadi.

“Kalau kita lihat dari segi tahap kecergasan, setiap pemain masih belum capai tahap yang kita nak. Oleh sebab itu saya bahagian kepada dua pasukan dengan pasukan pertama beraksi di separuh masa kedua, dan memasukkan pasukan kedua pada separuh masa kedua,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Cheng Hoe, walaupun Selangor diperkuat dengan ramai pemain kebangsaan seperti Faisal Halim, Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran dan beberapa lagi masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan pasukan.


“Mereka masih lagi sedang menyesuaikan diri dan mencari keserasian dengan pasukan walaupun mereka merupakan sebahagian daripada pemain kebangsaan.

Apabila mereka datang ke Selangor sudah pasti terdapat perbezaan dari segi corak permainan, tapi saya yakin mereka mampu memberi sesuatu kepada pasukan.”

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai prestasi pemainnya dalam perlawanan malam tadi, beliau berkata mereka akan cuba mempertingkatkan di bahagian serangan supaya dapat menjaringkan gol apabila mendapat peluang.

Beliau bagaimanapun berkata buat masa ini fokus beliau adalah untuk melihat prestasi keseluruhan pasukan.

Pengendali berusia 54 tahun itu juga mendedahkan sebab dua pemain import barunya iaitu Rauf Salifu, Ayron Del Valle  dan Alex Agyarkwa tidak diturunkan kerana perlukan sedikit masa untuk pulih dan menyesuaikan diri.

“Hari ini Rauf tidak dapat diturunkan kerana mengalami sedikit kecederaan dan Alex juga mengalami kecederaan, jadi kami tidak mahu ambil risiko menurunkan mereka bermain.

Ayron pula baru sampai jadi perlukan sedikit masa lebih kurang dua minggu untuk beliau sesuaikan diri dengan cuaca, budaya dan perbezaan masa, jadi kita perlu bagi beliau masa. Bagaimanapun beliau yang dimasukkan dalam 16 minit terakhir perlawanan memberi gambaran yang beliau akan memberi nafas baru kepada barisan serangan kita.”

Pada Sabtu ini, Selangor akan menentang Penang FC dalam perlawanan merebut gelaran juara Piala Harapan yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan.

Selepas selesai kejohanan ini, skuad Gergasi Merah akan terbang ke Thailand untuk menjalani latihan pra-musim mereka di sana dengan mengatur beberapa perlawanan persahabatan menentang kelab gergasi di Thai League 1.