Penjaring terbanyak Liga Jordan, Ronald Ngah kini milik KDA FC

650

Desas-desus yang mengatakan pemain berasal dari Cameroon, Ronald Ngah akan menyarung jersi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) nampaknya sudah disahkan dan kini menunggu pengumuman daripada KDA FC sahaja.

Walaupun tiada pengesahan rasmi daripada pihak KDA FC, namun maklumat Ronald di transfermarkt.com telah mengesahkan bahawa pemain yang beraksi untuk kelab Al-Salt akan bermain untuk pasukan Hijau Kuning pada musim 2022.


Kedatangan penyerang profilik ini ke Darul Aman ini memberi sedikit kelegaan buat peminat selepas KDA FC kehilangan dua penggempur utama iaitu Tchetche Kipre dan Kpah Sherman yang berhijrah ke Terengganu FC (TFC).

Ronald bukan sahaja menjadi penyaring terbanyak di kelabnya apabila menjaringkan 15 gol daripada keseluruhan 32 gol kelab, tetapi beliau juga merupakan penjaring terbanyak di Liga Jordan.

Pemain berusia 30 tahun itu dijangka mampu mempertajamkan barisan hadapan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Terdahulu KDA FC telah menyambar bekas pemain TFC iaitu Dechi Marcel dan bekas pemain Melaka United, Jang Suk Won.

Pada masa sama dilaporkan terdapat beberapa nama lagi yang dikatakan bakal memperkuatkan KDA FC iaitu pemain kacukan Thailand-Jerman, Dennis Buschening (UiTM FC) dan pemain Singapura, Zulfahmi Arifin yang kini bermain untuk kelab Liga 2 Thai, Sukhothai FC.

Selain itu, dua pemain naturalisasi negara iaitu Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi turut dilaporkan akan dibawa masuk ke KDA FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan terbaru mengenai perkara ini.