Manuel Hidalgo tinggalkan Sri Pahang FC kerana tertarik dengan projek Nafuzi Zain

1,066

Pemain import baru Kedah Darul Aman FC (KDA), Manuel Hidalgo memberitahu beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Sri Pahang FC kerana tertarik dengan projek yang dilakukan oleh ketua jurulatih Nafuzi Zain.

“Saya suka projek yang akan dilakukan oleh Nafuzi, oleh sebab itu saya ambil keputusan untuk berhijrah. Saya pernah bertemu dengan Nafuzi kira-kira dua tahun lalu yang mana beliau sendiri mengajak saya untuk bersamanya, dan saya yakin tahun ini KDA akan menjadi sebuah pasukan yang kuat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Hidalgo, apa yang membuatkannya lebih tertarik untuk bermain di bawah kendalian Nafuzi adalah kerana corak permainan yang diterapkan oleh beliau merupakan corak permainan yang cukup disukainya.


Peminat sedia maklum dengan corak permainan yang diterapkan oleh Nafuzi semasa beliau bersama Terengganu FC yang mana peminat mula memberi gelaran corak permainan ‘Nafuziball’.

“Corak permainan yang diterapkan oleh Nafuzi adalah corak permainan yang saya suka iaitu memegang bola lebih lama, menguasai permainan dan melakukan transisi pantas. Pada masa sama beliau juga memberi kebebasan kepada saya apabila di atas padang.”

Dalam pada itu, pemain berusia 23 tahun itu mengakui terkejut dengan ‘kegilaan’ peminat Sang Kenari yang memberi sokongan pada pasukan kesayangan mereka.

“Saya terkejut apabila tiba di sini kerana penyokong mereka ‘gila’. Ramai yang datang sambut kedatangan saya di lapangan terbang dan setiap perlawanan venue akan penuh dengan penyokong walaupun ia hanya perlawanan persahabatan.”

Bagi menghargai sokongan tidak berbelah bahagi peminat, Hidalgo sangat berharap bahawa beliau dan rakan sepasukannya dapat membalasnya dengan menghadiahkan sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini.