‘Look and feel’ Stadium Batu Kawan jika dinaik taraf dengan betul akan seperti di Old Trafford – Jeffrey Chew

1,612

Jika musim 2022 pasukan Penang FC menggunakan Stadium Bandaraya sebagai venue home mereka, namun untuk musim ini mereka telah mengambil keputusan untuk menukar venue home di luar pulau.

Penang akan menjadikan Stadium Batu Kawan sebagai home of Harimau Kumbang sepanjang musim ini selepas stadium itu dinaik taraf selain mempunyai kawasan yang cukup luas.


Bagi Pengurus Besar Penang FC iaitu Jeffrey Chew, beliau melihat penggunaan Stadium Batu Kawan untuk musim ini adalah satu perkara yang cukup baik bukan untuk pasukannya sahaja tetapi juga kepada peminat yang akan lebih selesa.

“Jika kita lihat di Penang kita mempunyai dua stadium iaitu Stadium Bandaraya yang berusia 73 tahun dan mempunyai keunikannya sendiri, tetapi satu lagi stadium iaitu Stadium Batu Kawan telah ditambah baik oleh sebab itu kali ini kami pilih untuk pasukan bermain di Batu Kawan.

Pada pandangan peribadi saya, say amula menonton bola sepak sejak berusia lima tahun dan Stadium Bandaraya sentiasa dekat di hati saya, tapi dengan peralihan masa tempat lagi sesak dan sempit. Berbeza dengan Stadium Batu Kawan yang cukup luas.

Jika anda buat perbandingan di Malaysia, stadium JDT antara yang terbaik, Selangor juga bakal punca stadium yang cukup menakjubkan. Oleh itu, Stadium Batu Kawan perlu ‘step up’. Saya sudah pergi ke banyak stadium di luar negara dan saya boleh katakan ‘look and feel’ Batu Kawan jika dibuat betul-betul akan mempunyai ‘feeling’ seperti di Old Trafford,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga mempunyai perancangan jangka masa panjang yang akan menyaksikan pelbagai lagi kemudahan yang akan dibangunkan di sekitar kawasan stadium termasuk mewujudkan kedai rasmi Penang FC.

Dalam pada itu, Penang ketika ini sedang rancak membuat persiapan untuk mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Ketika kebanyakan pasukan memilih untuk melakukan latihan pra-musim di luar negara, Penang mengambil keputusan untuk melakukan pra-musim mereka di dalam negara sahaja termasuk menganjurkan kejohanan Piala Harapan yang sedang berlangsung ketika ini.

Sebanyak tiga pasukan dijemput iaitu Kedah Darul Aman FC, Selangor FC dan satu pasukan dari Singapura iaitu Geylang International FC.

Jeffrey Chew mengakui pihak tidak menjangka kejohanan ini akan mendapat sambutan luar biasa daripada penyokong apabila jumlah kehadiran melebihi jangkaan mereka.

Piala Harapan akan menutup tirainya pada 4 Februari ini dengan menyaksikan Penang akan menentang Selangor pada perlawanan akhir, manakala Kedah pula akan menentang Geylang untuk perlawanan tempat ketiga dan keempat.

Selain Piala Harapan, Jeffrey Chew turut memberitahu pihaknya akan turut menganjurkan satu lagi kejohanan iaitu Piala TYT.

“Tahun lalu kita sudah anjurkan Piala TYT dan saya terkejut juga apabila kita berjaya menang, jadi tahun ini kita akan anjurkan lagi kejohanan ini tetapi kali ini kita akan jemput beberapa pasukan dari luar negara termasuk pasukan terbaik di Malaysia.

Bagaimanapun format kejohanan dan bila ia akan dianjurkan kita perlu melihat pada jadual liga terlebih dahulu.”